
ALOR SETAR – Presiden Pas berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak layak untuk menuduhnya munafik semata-mata kerjasama parti itu dengan UMNO pada pilihan raya umum kali ini.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, munafik merupakan istilah agama yang hanya boleh ditentukan oleh seseorang yang mempunyai ilmu agama dan Mahathir bukan seorang yang layak untuk menjatuhkan hukuman bahawa seseorang itu munafik atau tidak.
“Munafik adalah istilah agama, dia (Mahathir) bukan ahli agama… kalau tanya pasal penyakit tibi, perubatan, dia layaklah.
“Patutnya saya tak jawab, biar dia tanya mufti yang tahu agama, apa makna munafik itu… biar munasabah takrifannya,” katanya semasa program Ceramah PRU14 : Malaysia Sejahtera di Medan Ilmu Sungai Baru Gunong semalam.
Dalam pada itu, Hadi juga menafikan pernah mengkafirkan mana-mana individu, malah mereka yang membawa budaya tersebut juga sudah tidak lagi bersama dalam Pas.
“Selama ini dan sejak dahulu, saya tidak pernah kata sesiapa kafir. Yang disebut hanya tentang batas iman dan kufur pada orang Islam, itu sahaja.
“Mereka yang membawa budaya kafir mengkafir dalam Pas sudah pun masuk UMNO. Yang mana dalam politik kita tak bermusuh selama-lama, berkawan selama-lama.
“Cuma kita diajar berkawan ada batas, bermusuh ada batas.
“Kerana suatu hari akan ada perubahan. Sebab itu saya nasihatkan orang PAS kalau berkelahi ada batasnya, kita amal politik matang dan sejahtera,” kata beliau lagi.
Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan menuduh Hadi sebagai munafik kerana dilihat menjalin kerjasama dengan UMNO apabila cuba menarik pengundi yang bencikan Barisan Nasional (BN) untuk mengundi Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). – MalaysiaGazette