Home Utama Nik Omar akui bawa legasi Tok Guru

Nik Omar akui bawa legasi Tok Guru

Calon Pakatan Harapan ( PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz (tengah) bersama calon PH Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad (dua kanan), calon PH DUN Batu Tiga, Rodziah Ismail (kiri) dan calon PH DUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi (dua kiri) mengangkat tangan pada majlis Grand Hi-Tea Bersama Nik Omar di padang futsal Seksyen 8, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 03 MEI 2018.
Calon Pakatan Harapan ( PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz (tengah) bersama calon PH Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad (dua kanan), calon PH DUN Batu Tiga, Rodziah Ismail (kiri) dan calon PH DUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi (dua kiri) mengangkat tangan pada majlis Grand Hi-Tea Bersama Nik Omar di padang futsal Seksyen 8, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 03 MEI 2018.

SHAH ALAMĀ – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz yakin hanya beliau yang membawa legasi perjuangan ayahandanya, Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Omar berkata, keputusannya memilih PH sebagai wadah perjuangan parti politiknya juga dibuat kerana dasar yang dibawa pakatan pembangkang itu sama dengan pendekatan bekas menteri besar Kelantan itu.

“Kita memilih (parti) bukan pilih agama, kita nak pilih yang kita yakin, masuk kem mana, saya pilih Pakatan Harapan ini kerana saya yakin.

“Pendekatan yang diguna Pakatan Harapan ini sama dengan apa yang dibawa oleh Almarhum Tok Guru ayahanda saya.

“Saya yakin saya yang bawa legasi tok guru,” katanya berucap pada Majlis Minum Petang bersama calon PH Parlimen Shah Alam, DUN Kota Anggerik dan DUN Batu Tiga di Seksyen 8, di sini, hari ini.

Nik Omar berkata, desas-desus mengatakan tindakan menyertai pakatan pembangkang tidak mendapat restu ibunya disebabkan keluarganya ditekan oleh pihak tertentu.

“Saya tahu keluarga terdekat dia tekan, dia paksa, seolah-olah saya keluar agama, khianat kepada perjuangan Tok Guru

“Tiada anak yang tidak sayang pada emak dia, tiada mak yang tidak sayang kepada anak dia, hatta kalau anak itu terlibat dalam dadah, mak dia tetap sayang.

“Perkara yang menyebabkan terputus hubungan persaudaraan dan kekeluargaan, Allah SWT laknat,” katanya.

Nik Omar turut berkata, penyertaan beliau ke dalam PH dimanipulasikan oleh pihak tertentu dalam Pas yang tidak senang dengan tindakan anak bekas presiden parti Islam itu.

“Sekarang ini isu ini dimomokkan dan diberitahu bahawa bahawa kalau tidak bersama dengan Pas, ertinya kita tukar agama, kita keluar daripada bahtera Nabi Nuh AS,” katanya.

Kata Nik Omar, tidak timbul soal beliau tidak menemui ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak untuk mendapatkan restu bertanding atas tiket PKR.

“Adik saya nombor lima, ada masa dia jumpa dengan bonda, adik nombor dua pun ada masa dia jumpa bonda.

“Lepas viral isu itu, saya jumpa dengan bonda dan Alhamdulillah. Sepatutnya kita harap semua (anak) bonda restu kita, itu yang terbaik.

“Kita bukan nak cakap bab peribadi, kita bukan nak cakap bab keluarga saja, yang kita cakap sekarang ini bab negara, itu yang lebih penting,” katanya lagi. – MalaysiaGazette