KLANGĀ – Barisan Nasional (BN) perlu direhatkan daripada terus memerintah negara ini kerana parti itu didakwa gagal membela masyarakat majmuk khususnya kaum India yang tidak mendapat layanan sama rata sejak 60 tahun lalu.
Bekas Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Datuk S Ambiga berkata, sudah sampai masanya rakyat ‘mengajar’ pemimpin BN yang hanya membela komuniti India pada musim pilihan raya sahaja.
“Kita tiada peluang dan pilihan lain, sudah 60 tahun BN diberi mandat, tapi bagaimana situasi kaum India pada hari ini.
“Hanya dekat pilihan raya mereka datang beri barang, beri duit, dia tak menjaga kaum India, kaum lain pun sama tidak dijaga.
“Mereka kata kita komuniti India kecil mereka tak peduli, hanya dekat pilihan raya kita nampak mereka datang ke sini dan bercakap tentang kaum India,” katanya berucap pada Ceramah Kempen PH Parlimen Kota Raja, di Taman Sentosa, di sini, hari ini.
Hadir sama calon PKR N48 Sentosa, Dr Gunaraj George.
Ambiga berkata, rakyat perlu melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini jika mahu kerajaan akan datang bebas daripada unsur rasuah dan salah guna kuasa.
“Kita mesti berani membawa satu perubahan sebab kalau kita teruskan dengan korupsi, dalam situasi di mana menteri-menteri tidak menjaga rakyat.
“Kalau kita tidak bawa perubahan pada kali ini, saya risau kita tidak akan dapat peluang lagi, kita tiada pilihan lain tanpa membawa perubahan dalam kerajaan,” katanya.
Katanya, pendedahan Bersih 2.0 terhadap dakwaan penipuan yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang tempoh kempen hanya akan menimbulkan kemarahan rakyat.
“Bersih telah bawa lebih bukti bahawa SPR melakukan penipuan, ada 10 bukti baharu, setiap hari ada perkara baharu yang kita tidak suka.
“Apa SPR buat dengan gambar Tun Mahathir dia tarik keluar. Perkara-perkara seperti itu membuat rakyat naik marah,” katanya. – MalaysiaGazette