Home Politik “Dia jumpa bonda, saya pun jumpa bonda juga” – Nik Omar

“Dia jumpa bonda, saya pun jumpa bonda juga” – Nik Omar

Nik Omar menjelaskan kepada umum mengenai kedudukannya dalam keluarga dan tidak ada masalah dengan bondanya.
Nik Omar Nik Abdul Aziz antara nama penceramah yang dibenarkan dimasukkan dalam slot keagamaan (Islam) di RTM.

SHAH ALAM – “Tak ada orang yang tak sayang pada mak ayah dia, (dan) tak ada emak yang tak sayang pada anak dia…hatta, anak kalau terlibat dengan dadah pun, dia (emak) tetap sayang. Mana boleh putus hubungan di antara mak dengan anak”.

Demikian luah Nik Omar Nik Abdul Aziz, menjawab persoalan yang bermain dalam minda orang ramai berhubung dakwaan beliau anak derhaka kerana membelakangkan nasihat ibunya, Tuan Sabariah Tuan Ishak agar tidak menyertai Parti Amanah Negara (PAN).

Berucap dalam program bersama rakyat di Seksyen 7, di sini, semalam, Nik Omar yang juga calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka dalam Parlimen Pengkalan Chepa memberitahu, kenapa ‘musuhnya’ perlu memainkan sentimen itu?

“Kenapa nak main sentimen ini? Kita bukan nak bercakap bab ini (kekeluargaan), kita nak bercakap bab negara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan situasi sekarang ini, orang ramai mahu mendengar perkara yang tidak elok keluar dari mulut (pengucapan) ibunya.

Mengenai dakwaan adiknya, Nik Mohamad Abduh, konon ibunya enggan berjumpa beliau, sebaliknya akan turun berkempen membantu calon Pas di DUN Chempaka, Nik Omar menjelaskan, orang ramai mesti suka mendengar perkara yang tidak elok.

“Sebenarnya tidak timbul masalah keluarga. Alhamdulillah. Saya boleh katakan, kalau dia (Nik Abduh) boleh jumpa (bonda), saya pun boleh jumpa (bonda). Saya pun anak dia juga. Jadi, saya rasa tak perlu perbesarkan, sebab bukan isu keluarga.

“Saya ni anak kedua daripada 10 adik beradik. Yang sulung kakak, adik saya Nik Abduh yang kelima. Jadi saya jawab, ada masanya anak yang kelima jumpa bondanya, ada masa anak kedua jumpa bondanya.

“Islam ajar seorang abang walau macammana sekalipun adik buat masalah, kita (abang) kena sayang pada adik. Islam juga ajar, adik ini tahulah sedikit hormat kepada abangnya. Ini Islam ajar,” katanya dengan tertib.

Menurutnya, bukan senang baginya untuk membuat keputusan terlibat dalam politik dan mengambil masa lama, bahkan, bertahun.

“Cuma saya tengok (keadaan politik Pas berubah) selepas tok guru (Nik Abdul Aziz) meninggal dunia dua bulan. Pendekatan politik yang dibawa ayah saya sudah dihentikan.

“Saya sudah beri nasihat (bila lihat Pas lari dari landasan perjuangan), tapi mereka kata, Nik Omar tak ada apa-apa (kuasa atau jawatan dalam parti).

“Betullah saya tak ada apa-apa, saya hanya ahli biasa saja. Sekarang pun saya ustaz kampung biasa saja, cuma saya tak tahu kenapa orang suka saya,” katanya berseloroh. – MalaysiaGazette