Home Politik Tian Chua minta pengundi undi calon Kunci

Tian Chua minta pengundi undi calon Kunci

Tian Chua

KUALA LUMPUR – Selepas saman yang difailkan oleh Tian Chua ditolak mahkamah, Naib Presiden PKR meminta para pengundi Parlimen Batu mengundi calon Bebas, P Prabakaran pada Pilihan Raya Umum ini.

Kenyataan itu dibuat selepas PKR mengumumkan menyokong calon Bebas susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pemula Tian Chua terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam kenyataannya di sini, Tian Chua mengulangi ketidakadilan SPR yang menghalangnya mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding bagi mempertahankan kerusinya selama dua penggal itu.

Beliau yang yakin PH mempunyai peluang tinggi untuk menang di kawasan itu berkata, disebabkan halangan tersebut, dia tidak dapat menjadi wakil rakyat.

“Bagi semua pengundi kawasan Parlimen Batu, SPR telah mencuri hak memilih wakil rakyat dengan menggunakan alasan yang tidak munasabah, malah mengatasi penghakiman Mahkamah Tinggi serta keputusan Speaker Dewan Rakyat.

“Tingkah laku SPR sebegini adalah buruk sekali dan langsung tidak boleh diterima. Hak memilih wakil rakyat pengundi Batu tidak boleh dicuri,” katanya.

Sehubungan itu, Tian Chua berkata, PKR akan memberi tumpuan kepada calon Bebas (logo Kunci) bagi membawa mesej kepada BN dan SPR bahawa parti itu boleh memenangi kerusi dengan menggunakan ‘pintu belakang’. – MalaysiaGazette