Home Nasional 860 laporan salah laku PRU14 – KPN

860 laporan salah laku PRU14 – KPN

Hri Mengundi awal Bukit Aman
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (kanan) bercakap pada sidang media Khas Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Polis telah menerima sebanyak 860 laporan polis berkaitan salah laku kempen Pilihan Raya Umum ke-14 9 Mei ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, selepas dua hari kempen PRU bermula, polis  menerima 472 kes sahaja.

Namun, setakat semalam, angka laporan sudah berganda kepada 860 laporan.

Dalam perkembangan berkaitan , tegas beliau sebanyak 14 kertas siasatan telah dibuka dan 17 kes tangkapan dibuat setakat ini.

Dalam perkara berkaitan, katanya polis telah menerima 17 kes yang sedang disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 2008.

“Kebanyakan kesnya melibatkan pengkhianatan menjatuhkan serta menconteng poster pemimpin dan calon, menurunkan pemidang parti lawan, selain membakar bendera seperti yang berlaku di Perlis, Kedah dan Melaka.

“17 orang warga tempatan telah ditangkap berkenaan salah laku pilihan raya dan 15 telah dibebaskan setelah diambil keterangan oleh polis.

“Manakala dua orang lagi ditahan kerana mencederakan orang dan terlibat dalam pergaduhan, yang mana satu kes di Yong Peng, Johor disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan satu lagi melibatkan kesalahan menyamar sebagai penjawat awam di Sabah mengikut Seksyen 171 (1) Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini.

Turut bersama Timbalan beliau Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan beberapa pegawai kanan polis pada sidang media itu.

Ujarnya, setakat ini kempen pilihan raya berjalan lancar dan situasinya masih terkawal sambil mengharapkan suasana itu berterusan sehingga hari mengundi Rabu depan.

Dalam perkembangan lain, ditanya sama ada Tun Mahahir Mohamad akan dipanggil untuk membantu siasata mengenai dakwaan sabotaj pesawatnya, Mohamad Fuzi berkata, ia bergantung kepada keperluan polis.

“Tengoklah nanti, kalau ada keperluan kita akan penggil dia untuk diambil keterangan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai proses pengundian oleh kakitangan PDRM,  beliau menegaskan sememangnya undi itu rahsia dan anggota polis juga bebas menentukan calon dan parti pilihan mereka.

“Undi itu memang rahsia. Seperti tentera, anggota polis dan semua pasukan beruniform juga bebas dan berhak mengundi parti pilihan mereka,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette