Home Ekonomi Jumlah dagangan Mac RM154.2b

Jumlah dagangan Mac RM154.2b

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah perdagangan negara pada Mac lalu berjumlah RM154.2 bilion menurun RM5.6 bilion atau 3.5 peratus daripada setahun lalu.

Walau bagaimanapun, ia mencatatkan peningkatan sebanyak RM22.6 bilion atau 17.1 peratus berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

Lebihan dagangan pada Mac 2018 adalah RM14.7 bilion, meningkat RM9.3 bilion (+172.0%) dari tahun sebelumnya. Ia juga menokok RM5.7 bilion atau 62.9 peratus berbanding bulan lalu.

Berasaskan tahun ke tahun, eksport mengembang 2.2 peratus daripada RM82.6 bilion.

Produk-produk utama yang menyumbangkan kepada peningkatan ini adalah barangan elektrik dan elektronik (37.7% daripada jumlah eksport), meningkat RM2.5 bilion (+8.7%) kepada RM31.8 bilion; dan Petroleum mentah, yang menyumbang 4.3% kepada jumlah eksport, menokok RM562.2 juta atau 18.4% kepada RM3.6 bilion berikutan peningkatan dalam kedua-dua volum eksport (+14.2%) dan nilai purata seunit (+3.7%).

Walau bagaimanapun, penurunan direkodkan untuk produk-produk minyak kelapa sawit dan hasil keluaran berasaskan minyak kelapa sawit (7.2% daripada jumlah eksport) mencatatkan penurunan sebanyak RM427.8 juta (-6.6%) kepada RM6.0 bilion.

Eksport minyak kelapa sawit, komoditi utama dalam kumpulan produk ini jatuh RM178.5 juta atau 4.7% disebabkan oleh pengurangan dalam nilai purata seunit (-21.7%) walaupun volum eksport meningkat 21.7%.

Keluaran petroleum bertapis, yang menyumbang 5.1% daripada jumlah eksport, menyusut RM401.8 juta atau 8.6% kepada RM4.3 bilion disebabkan oleh kejatuhan dalam kedua-dua volum eksport (-5.6%) dan nilai purata seunit (-3.2%).

Kayu dan hasil keluaran kayu yang menyumbang 2.3% daripada jumlah eksport, berkurangan RM285.5 juta atau 12.8% kepada RM1.9 bilion dan getah asli (0.4% daripada jumlah eksport) jatuh RM211.9 juta atau 37.8% kepada RM349.1 juta disebabkan oleh penurunan dalam kedua-dua nilai purata seunit (-35.8%) dan volum eksport (-3.1%).

Gas asli cecair, menyumbang 3.9% daripada jumlah eksport merosot RM113.8 juta atau 3.3% kepada RM3.3 bilion disebabkan oleh penurunan dalam volum eksport (-13.3%) walaupun nilai purata seunit naik 11.5%. – MalaysiaGazette