Home Politik Ibu tidak menentang, kata Nik Omar

Ibu tidak menentang, kata Nik Omar

Nik Omar Nik Abdul Aziz
Calon Pakatan Hrapan (PH) N.06 Chempaka, Ustaz Nik Omar bercakap ketika memberi penerangan ringkas pada Program Minum Pagi Bersama Rakyat sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Kedai Mat Soto, Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 MEI 2018

PANDAN – Nik Omar Nik Abdul Aziz menganggap tindakan ibunya berceramah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Kelantan semalam sebagai satu tindakan demokrasi.

Malah, beliau tidak merasakan sikap ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak sebagai menentangnya sebagai calon Pakatan Harapan (PH).

“Dia tak berkempen menentang ustaz (Nik Omar), insha- Allah.

“Itu (tindakan ibu) kita boleh sebut dalam negara demokrasi sebagai rakyat diberi pilihan.

“Tapi ambo (saya) sebagai anak, ambo tetap doa sokmo-sokmo (selalu) pada ayah, mak ambo sebagaimana orang lain doa pada mak ayah dia.

“Seorang ayah, seorang mak kalau belah-belah mana pun (walau macam mana pun) anak dia, kalau anak dia terlibat dengan dadah pun, mereka tetap sayang apatah lagi ambo, insya-Allah,” katanya.

Nik Omar berkata demikian ketika ditemui selepas bersarapan di Kampung Cheras Baru bersama penyokong PH di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan ibunya yang berada di atas pentas Pas semasa kempen parti itu di kawasan Nik Omar semalam.

Dalam sebuah kempen Pas di DUN Chempaka, Tuan Sabariah dilaporkan berkata, beliau sehingga kini tetap berpegang pada pesanan allahyarham suaminya (Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat) bahawa tiada parti lain yang lebih baik berbanding parti Pas.

Dalam pada itu ketika diminta mengulas mengenai perkataan ‘monteng’ oleh ibunya ketika berceramah di pentas Pas berkenaan, Nik Omar hanya ketawa dan berkata:

“Monteng tu biasalah, ahli Parlimen pun ada yang monteng,” katanya sambil tersenyum. – MalaysiaGazette