Home Nasional Seramai 278, 590 pemilih awal mengundi esok – SPR

Seramai 278, 590 pemilih awal mengundi esok – SPR

278, 590 pengundi awal akan mengundi awal esok
Mohd Hashim Abdullah

PUTRAJAYA – Seramai 278, 590 orang pemilih awal meliputi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengundi awal esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian besar daripada jumlah keseluruhan pengundi awal yang berdaftar iaitu seramai 300,255 orang.

“Manakala sebahagian lagi iaitu seramai 21, 665 orang pula akan mengundi secara undi pos.

“Justeru pada 5 Mei (esok), sebanyak 586 pusat mengundi yang melibatkan 910 tempat mengundi (saluran mengundi) akan dibuka untuk tujuan pengundian.

“Proses pengundian awal akan dijalankan mengikut kaedah pengundian biasa dengan dikendalikan oleh 6,376 petugas SPR,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Hashim berkata, proses itu juga akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian pilihan raya berkenaan.

Disamping itu, katanya, pemerhati pilihan raya tempatan daripada pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik SPR juga boleh memerhatikan proses pengundian awal itu tertakluk kepada kebenaran masuk ke pusat pengundian itu daripada Polis Diraja Malaysia dan ATM.

“Pusat pengundian awal itu akan dibuka mulai 8 pagi dan akan ditutup pukul 5 petang.

“Namun begitu terdapat beberapa Pusat Mengundi Awal ditutup lebih awal iaitu antara jam 1 hingga 3 petang manakala ada beberapa Pusat mengundi Awal yang ditutup pada jam 7 malam,” ujar beliau.

Malah Mohd Hashim menegaskan, kertas-kertas undi awal tidak akan dikira di Tempat Mengundi (saluran) pada 5 Mei sebaliknya akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis.

“Kertas-kertas undi itu hanya akan dikira pada 9 Mei iaitu bermula jam 4 petang.

“Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat-tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi akan disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing,” tegas beliau. – MalaysiaGazette