Home Utama Hakikatnya ‘Harapan’ sebenar terletak pada BN, kata Najib

Hakikatnya ‘Harapan’ sebenar terletak pada BN, kata Najib

Malah Perdana Menteri masih mengingati kejadian di Lahad Datu yang telah menyaksikan ada anggota keselamatan negara terkorban demi mempertahankan negara.-Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri NajibĀ  Razak menyeru agar para pengundi awal membuang undi berdasarkan fakta, pencapaian dan sumbangan kerajaan kepada negara dan anggota-anggota keselamatan yang tidak pernah dipinggirkan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga meminta pengundi awal supaya tidak mengundi berdasarkan hasutan pembangkang yang tidak pernah menghargai jasa dan pengorbanan mereka kepada negara.

“Hakikatnya “Harapan” sebenar ada pada BN. Pembangkang tidak pernah menghargai jasa dan pengorbanan saudara- saudari kepada negara malah ada juga yang memperlekehkan pengorbanan saudara-saudari semua.

“Kerajaan juga tidak pernah menghalang, mengekang atau mengarahkan bagaimana saudara-saudari melaksanakan tanggungjawab dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan ini.

“Pilihlah kestabilan, pilihlah kemakmuran, pilihlah kejayaan. Pilihlah untuk #HebatkanNegaraku.Semoga pilihan saudara saudari nanti menentukan masa depan Malaysia yang berjaya dan terus berjaya,” kata beliau dalam blog peribadi rasmi www.najibrazak.com hari ini.

Ia merupakan sebahagian daripada pesanan khusus beliau kepada pengundi-pengundi awal yang akan mula mengundi esok menentukan tampuk kepimpinan kerajaan baharu demi menjamin masa depan negara selepas 9 Mei ini.

Esok, proses pengundian awal akan dilaksanakan untuk Pilihan Raya Umum ke-14 dan melibatkan anggota polis dan pasukan gerak am serta anggota tentera bersama isteri atau suami masing-masing.

Presiden UMNO itu juga menegaskan, kerajaan sentiasa menghargai sumbangan dan jasa anggota pasukan keselamatan negara dan mengakui mereka adalah wira and wirawati yang menjadi benteng menjaga keamanan dan keselamatan negara.

Malah beliau masih mengingati kejadian di Lahad Datu yang telah menyaksikan ada anggota keselamatan negara terkorban demi mempertahankan negara.

“Saya masih ingat lagi tangisan ahli keluarga perajurit negara yang gugur mempertahankan kedaulatan negara, tetapi pembangkang memperlekehkan, malah ada yang tergamak menyatakan ia hanya sandiwara semata-mata.

“Saya masih ingat dengan jelas kerana saya sendiri turun bertemu saudara-saudari dan saban tahun saya memikirkan bagaimana untuk terus menghargai dan meningkatkan lagi kualiti hidup saudara-saudari semua.

“Setiap tahun, pasti ada pengumuman khas yang melibatkan kebajikan serta kesejahteraan kehidupan anggota-anggota keselamatan negara, termasuklah yang telah bersara,” tegas beliau.

Malah beliau menjelaskan, pengumuman Manifesto BN baru-baru ini bukti jelas memperlihatkan bagaimana kita sentiasa memikirkan kebajikan serta kesejahteraan saudara-saudari anggota keselamatan negara.

“Antaranya termasuklah penyediaan 45,000 unit rumah keluarga Angkatan Tentera menjelang 2030, 10,000 unit rumah SASaR, 10,000 unit rumah PPA1M untuk Polis DiRaja Malaysia dan peningkatan kuota haji khas untuk pesara ATM dan PDRM.

“Pihak pembangkang pula, selain memperlekehkan fungsi serta tanggungjawab penjawat awam yang termasuk anggota-anggota keselamatan negara seperti saudara-saudari, mereka berniat untuk mengurangkan jumlah penjawat awam pula.

“Penang Institute misalnya, pernah berkata bahawa sebenarnya Malaysia perlu 430,000 orang penjawat awam sahaja. Ini bermakna, daripada 1.6 juta penjawat awam hari ini, ada kemungkinan besar 1.2 juta akan kehilangan hidup dan mata pencarian,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

Pesanan Buat Pengundi-Pengundi Awal