Home Nasional Perkhidmatan bas percuma untuk pengundi PRU-14

Perkhidmatan bas percuma untuk pengundi PRU-14

Pengerusi Penaja Bas Henti-Henti, Basri Bahrom (duduk tengah) bergambar kenangan bersama pengusaha bas henti-henti satu Malaysia pada sidang media menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri dan bersedia untuk memberikan perkhidmatan bas percuma pada hari mengundi di Sani Hotel, Jalan Putra, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Pengusaha Bas Henti-Henti Malaysia hari ini merancang untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) 9 Mei ini.

Menurut pengerusi penajanya, Basri Baharom, perkara itu telah diputuskan lebih 150 ahli pengusaha bas henti-henti untuk memberikan perkhidmatan itu mengenangkan terdapatnya keperluan untuk menyediakan perkhidmatan tersebut.

“Kami yang hadir pada hari ini bercadang akan memberikan perkhidmatan bas percuma satu hari kepada semua penumpang bas yang akan keluar mengundi pada 9 Mei nanti.

“Antaranya syarikat bas The Kulim Baling Road Transport Sendirian Berhad dan lain-lain operator. Kita akan bincang dengan SPAD kerana tidak boleh sewenang buat keputusan. Kami faham hari mengundi akan bersaing bas sewa dari pihak lain,” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Penaja, Khairil Anuar Abdul Rahman dan 20 pengusaha bas henti-henti di seluruh negara.

Katanya, sebarang perkhidmatan melibatkan pengangkutan awan harus mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Pengerusi Penaja Bas Henti-Henti, Basri Bahrom bercakap pada sidang media menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri dan bersedia untuk memberikan perkhidmatan bas percuma pada hari mengundi di Sani Hotel, Jalan Putra, Kuala Lumpur.
Pengerusi Penaja Bas Henti-Henti, Basri Bahrom bercakap pada sidang media menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri dan bersedia untuk memberikan perkhidmatan bas percuma pada hari mengundi di Sani Hotel, Jalan Putra, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2018

Dianggarkan lebih 400 hingga 500 buah bas akan terlibat dalam mengangkut pengundi di beberapa negeri secara percuma pada hari pengundian kelak.

Antara negeri-negeri yang terlibat adalah Pulau Pinang, Kedah, Pahang dan Perak.

Jelas Sabri, langkah itu sebagai membalas jasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas bantuan yang diberikan kepada pengusaha bas henti-henti selama ini.

“Kami semua mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Perdana Menteri kerana semenjak tahun 2012 telah membantu kami semua dengan menyalurkan bantuan dengan memperkenalkan Dana Bantuan Sementara Bas Henti-henti (ISBSF) yang telah diuruskan dan disalurkan melalui SPAD.

“Kami difahamkan kerajaan telah menyalurkan bantuan lebih dari RM400 juta semenjak ia mula diperkenalkan.

“Tanpa dana bantuan ini tidak mungkin kami dapat meneruskan operasi untuk memberikan perkhidmatan bas kepada rakyat Malaysia terutama bagi mereka yang tinggal di luar bandar,” katanya. – MalaysiaGazette