Home Nasional Tidak wajar istilah ‘mati katak’ keluar dari mulut negarawan

Tidak wajar istilah ‘mati katak’ keluar dari mulut negarawan

Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR – Istilah ‘mati katak’ tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang yang digelar negarawan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, ‘mati katak’ adalah istilah yang sangat menghina kepada seseorang yang mati dengan cara yang paling berdosa dan ditakdirkan untuk neraka.

Kelmarin, ketika berucap pada Ceramah Perdana bersama Calon PKR Lembah Pantai di pekarangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Dr Mahathir mendakwa 14 mangsa yang terkorban dalam tragedi berdarah Memali pada 19 November 1985 sebagai ‘mati katak’, bukan mati syahid.

Tragedi Memali yang berlaku di Kampung Memali, Baling, Kedah, itu menyaksikan pertempuran anggota keselamatan dengan penduduk kampung dan pengikut Ibrahim Libya.

Kejadian yang mengorbankan Ibrahim dan 17 yang lain termasuk empat anggota polis, berpuluh-puluh lain cedera serta beratus-ratus orang ditahan.

Selepas dikecam oleh pemimpin Pas, Dr Mahathir memohon maaf pada keluarga mangsa tragedi Memali atas keceluparannya yang menggunakan istilah ‘mati katak’ kepada mangsa-mangsa peristiwa itu. – MalaysiaGazette