Home Politik Arus peralihan pengundi Cina kepada BN- Prakash Rao

Arus peralihan pengundi Cina kepada BN- Prakash Rao

Aura peralihan ke BN kuat
Prakash Rao bersama calon BN DUN Kota Damansara Datuk Halimaton Saadiah turun padang berkempen ke pasar pagi kampung baru Sungai Buloh hari ini.

KUALA LUMPUR – Arus peralihan pengundi Cina kepada Barisan Nasional (BN) dapat dirasai sejak akhir-akhir ini.

Calon BN Parlimen Sungai Buloh, Prakash Rao berkata, walaupun kerusi itu milik DAP sejak 2008 namun kini masyarakat Cina mula memberi reaksi positif dan menerima kehadiran beliau.

“Mereka digeruni sebagai penentu keputusan sebelum ini kini mula menampakkan sokongan ke arah BN.

“Aura mereka beralih ke arah BN di Sungai Buloh khususnya jelas kelihatan dan ini buktinya mereka setulus ikhlas mahukan perubahan dan pembangunan yang dinafikan selama 10 tahun lalu,” ujarnya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Optimis BN akan menang bergaya
Calon BN Parlimen Sungai Buloh Prakash Rao bermesra dengan masyarakat Cina semasa lawatan ke Pasar Pagi Kampung Baru Sungai Buloh untuk berkempen sempena PRU14

Beliau telah mengadakan walkbout ke Pasar Pagi Kampung Baru Sungai Buloh bersama calon BN ADUN Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan.

Kedua-dua calon itu bersua muka dengan peniaga dan masyarakat berbilang kaum termasuk komuniti Cina Tiong Hua dan menghulurkan bunga bersempena Hari Ibu.

“Pengundi di kawasan ini sudah bersedia untuk mengubah dan mengembalikan mandat semula kepada BN.

“Saya sangat optimis dengan manifesto mengandungi tiga teras utama pembangunan masyarakat Sungai Buloh akan memberi impak dan kerusi ini pasti akan menjadi milik BN sementara mempertahankan kerusi Kota Damansara juga,” ujarnya.

Prakash Rao akan bertembung dengan PKR, Pas dan PSM di Sungai Buloh dan ia akan memberi kelebihan untuknya menang bergaya dan menyediakan perkhidmatan terbaik dalam masa lima tahun akan datang.

Sivarasa dari PKR merupakan penyandang kerusi itu yang dahulu dikenali Parlimen Subang. – MalaysiaGazette