SHAH ALAM – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga, Ahmad Muadzam Shah Yaakop akan menghabiskan siri kempen yang berbaki dua hari sahaja lagi dengan wakil dan ahli badan-badan bukan kerajaan (NGO).
Beliau yang memulakan perjalanan kempen ke seluruh pelosok dalam DUN itu sejak hari pertama pada 28 April lalu lagi, menaruh keyakinan rakyat akan membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
“Hasil dari lawatan dan kunjungan saya ke semua tempat dalam DUN ini, ramai yang mendakwa, wakil rakyat sebelum ini (dari PKR) tidak pernah muncul bertanya khabar atau datang untuk mendengar masalah rakyat.
“Saya sendiri merasa kesian dengan keadaan ini dan saya meminta mereka membuat perubahan kali ini dengan memberi peluang kepada saya menggantikan tempat wakil rakyat PKR sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas pertemuannya dengan wakil dan ahli NGO di Seksyen 20 di sini, semalam.
Menurut Ahmad Muadzam, Parlimen Shah Alam mempunyai banyak NGO yang aktif dan masing-masing mempunyai misi dan visi.
Kerana itu, katanya, NGO seperti itu akan terus diperkasakan dengan bantuan khas bagi memudahkan mereka menjalankan aktiviti terutama dalam aspek kebajikan masyarakat.
“Insya-Allah, kita hebatkan masyarakat Batu Tiga. Kita perbanyakan program kemasyarakatan dan kita hidupkan perpaduan demi Shah Alam yang lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette