KUALA LUMPURĀ – ‘Habis madu, sepah dibuang.’
Begitulah perumpamaan yang menggambarkan tindakan dua bekas veteran UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin ‘menyerang’ Barisan Nasional (BN) dalam gelanggang pembangkang.
Demikian kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang kecewa dengan tindakan bekas menteri itu sambil menyifatkannya sebagai satu kejutan kerana tidak menyangka mereka berdua akan berpaling tadah kepada parti.
“Saya rasa tak patut mereka memukul parti yang pernah mereka mendapat nikmat. Kalau mereka tidak puas hati, sepatutnya patah balik kepada parti, bukan cara naik pentas pembangkang.
“Mereka sudah tak kenang jasa kita, kalau tak boleh balas budi UMNO, jangan duk balun di tempat pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Surau Jumaat Alhabshee di Jalan Peel, Cheras hari ini.
Semalam, veteran UMNO, Rafidah buat pertama kalinya naik ke pentas ceramah Pakatan Harapan di Melaka bersama-sama bekas Menteri Kewangan, Daim.
Lantaran itu, dua veteran UMNO itu termasuk Tan Sri Dr Rais Yatim dikenakan tindakan pemecatan sebagai ahli parti itu serta-merta kerana lantang mengkritik dan menyokong pembangkang.
Syed Ali juga berkata, sepatutnya veteran UMNO seperti Rafidah dan Daim yang telah mendapat ‘nikmat’ daripada parti perlu menunjukkan contoh terbaik kepada akar umbi dan bukan sebaliknya.
“Mereka sudah dapat segala-galanya, dapat gelaran Tan Sri, dapat pangkat, dapat jawatan, sekarang habis, mereka pukul UMNO di gelanggang pembangkang
“Ini saya perkara yang saya rasa cukup jijik sebagai bekas pemimpin, duduk dalam parti, dapat nikmat dalam parti, tunjuk satu contoh yang tidak baik kepada ahli-ahli akar umbi yang setia kepada parti,” tegasnya.
Katanya, tindakan ketiga-tiga veteran UMNO ini sedikit banyak memberi kesan kepada parti khususnya dalam usaha meraih sokongan pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Sedikit banyak ia akan memberi kesan sebab mereka ini adalah orang veteran yang pernah ada tempat dalam parti dan kerajaan
“Kalau mereka tidak berpuas hati boleh duduk berbincang dengan kami, bukan dengan naik ke pentas pembangkang pukul kita di mana-mana,” katanya lagi. – MalaysiaGazette