Home Nasional NGO mahu Malaysia dipimpin pemimpin ikhlas

NGO mahu Malaysia dipimpin pemimpin ikhlas

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Brig Jen (B) Mohamed Arshad Raji (kiri) bergambar bersama Penasihat DAP, Lim Kit Siang (tiga kanan) pada Forum Aspirasi Rakyat di Malaysia International Exhibition and Convention Centre (MIECC) Seri Kembangan, Selangor. foto IQBAL BASRI, 06 mei 2018

SERI KEMBANGAN – Sebanyak 16 NGO menyuarakan hasrat mahu melihat Malaysia ditadbir oleh pemimpin yang benar-benar ikhlas untuk menerajui kerajaan.

Rata-rata mereka berharap agar kepimpinan negara menjauhi anasir-anasir yang boleh memalukan negara terutama melibatkan rasuah.

Menerusi Forum Aspirasi Rakyat anjuran Persatuan Patriot Kebangsaan di sini hari ini, mereka mahu penerapan terhadap kepimpinan melalui tauladan yang terkandung dalam Rukun Negara disemat dalam sanubari pemimpin yang bakal membentuk kerajaan selepas 9 Mei ini.

Malah, mereka turut beriltizam mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju yang mengamalkan demokrasi tanpa ada campurtangan kuasa eksekutif yang boleh menyekat masyarakat daripada mendapatkan hak dan kebebasan dalam memilih kerajaan.

Terdahulu, sebelum forum bermula veteran DAP, Lim Kit Siang muncul beberapa minit dan bersalaman dengan lebih 80 hadirin sebelum ‘menghilangkan’ diri.

Program dihadiri oleh Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brigedier Jeneral (B) Mohd. Arshad Raji yang turut merasmikan upacara penutup. – MalaysiaGazette