KUALA LUMPUR – Selebriti kontroversi yang juga calon bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, Azwan Ali berkata ramai bertanyakan kepadanya di mana kelibat abangnya semasa berkempen PRU-14 ini.
Jelas pengacara berusia 55 tahun itu, ketika bertemu pengundi, beliau menerima aduan mengenai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga calon DUN sama.
Katanya, pengundi sudah bosan dengan perangai Azmin yang juga Menteri Besar Selangor kerana jarang turun melawat kawasan.
“Memang ramai yang mengadu, mana Azmin selama ini? Mereka kata tidak nampak batang hidung dan tidak pernah menjelma.
“Jadi yang berhormat tapi tidak datang dan rakyat marah beliau. Sekurang-kurangnya rakyat tidak marah saya sepanjang kempen kerana saya turun bertemu mereka,” katanya.
Azwan ditemui media selepas siri kempen dengan mengedar bihun goreng hailam kepada orang ramai di Ukay Perdana di sini petang tadi.
Azwan akan bertanding menentang Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat dalam persaingan lima penjuru pada PRU-14.
Mengulas hubungan mesranya dengan Barisan Nasional (BN) apabila berkongsi khemah parti tanpa dikenakan bayaran, Azwan berkata, ia merupakan contoh satu kempen yang matang dan tidak perlu ‘menyerang’ mana-mana parti.
“Tak luak pun BN bagi tumpang khemah mereka ini. Ini adalah satu kerjasama yang perlu dilihat oleh semua orang.
“Tapi tidak timbul pula saya akan tarik diri saat-saat akhir akan nyata sokongan kepada BN,” katanya. – MalaysiaGazette