Pengerusinya, Ahmad Rudin Husain berkata, Mahabob Hasimat, 57, dari Pontian, Johor, kini ditahan di Rumah Tahanan Negara (RUTAN) Kelas I, Tanjung Pinang, Indonesia manakala Abdul Rashid Nik, 53, dari Kuantan, Pahang dan Kamaruzaman Awi, 46 dari Dungun, Terenggau, ditahan di Lembaga Pemasyarakatan Kelas IIA (Lapas) di pulau sama.
Menurutnya, ketiga-tiga nelayan itu perlu melalui beberapa proses perundangan sebelum dibebaskan.
“Semalam (Jumaat), NEKMAT dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah mengadakan lawatan ke Tanjung Pinang untuk menziarahi nelayan yang ditahan pihak berkuasa negara itu,” katanya.
Lawatan ini susulan rundingan peringkat tertinggi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Joko Widodo mengenai pembebasan nelayan yang ditahan di kedua-dua negara.
“Ia juga susulan pertemuan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti, mengenai jaminan pembebasan nelayan tersebut pada 11 Jan lalu,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Ahmad Rudin berkata ketika ditemui, ketiga-tiga nelayan tersebut melahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada kerajaan, khususnya LKIM dan NEKMAT yang mengambil berat kebajikan mereka.
“Semua nelayan dalam keadaan sihat dan menyatakan kerinduan mereka untuk bertemu keluarga di kampung halaman dan mereka berharap agar keluarga tidak risau dan sentiasa mendoakan semua dalam keadaan baik,” katanya.
NEKMAT dan LKIM turut berterima kasih kepada Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Johor Bahru dan Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia Republik Indonesia di Pulau Tanjung Pinang atas kerjasama yang diberikan. – MalaysiaGazette