Home Nasional Tindakan perlu diambil susulan pendedahan fitnah jahat ahli DAP

Tindakan perlu diambil susulan pendedahan fitnah jahat ahli DAP

Datuk Seri Johari Baharum.
Datuk Seri Johari Baharum.

KUBANG PASU – Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas dan menyiasat pendedahan ahli DAP seumur hidup, Amran Ahmad yang mendakwa wujud rancangan fitnah jahat yang dirancang parti itu terhadap kerajaan, kata Datuk Seri Johari Baharum.

Timbalan Menteri Pertahanan itu menyifatkan pendedahan Amran tidak mengejutkan, malah membuktikan mereka sebenarnya hanya mahu menfitnah dan memburukkan kerajaan untuk kepentingan politik semata-mata.

“Pendedahan ini tunjukkan bahawa selama ini memang lah kerja mereka2 dalam DAP dan pembangkang gunakan media sosial untuk fitnah kerajaan dan juga Perdana Menteri kita.

“Saya tidak terkejut perkara ini berlaku dan menjangkakan banyak lagi perkara berlaku daripada mereka ini,” kata beliau semasa ditemui media di pusat jentera Barisan Nasional hari ini.

Jelasnya, susulan pendedahan tersebut tindakan tegas perlu diambil terhadap DAP dengan menyiasat sama ada pendedahan Amran itu berasas atau tidak dan sekiranya terdapat bukti mereka perlu didakwa kerana mempunyai niat jahat untuk menghancurkan negara.

“Pihak berkuasa sama ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau polis perlu ambil tindakan tegas mengenai perkara ini.

“Tak boleh biarkan perkara ini berlaku di negara kita, terutama libatkan berita-berita yang pecah belahkan rakyat kita,” katanya.

Dalam pendedahan semalam, Amran mendakwa, DAP memang sengaja memburuk-burukkan pemimpin kerajaan termasuk memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, isteri dan keluarganya.

Amran membuat pendedahan kerana tidak mahu bersekongkol dengan DAP lagi untuk menipu rakyat Malaysia.

“Saya tidak mahu membuat kerja-kerja ini, bersekongkol dengan DAP untuk menipu rakyat Malaysia semata-mata untuk memikat hati pengundi,” katanya. – MalaysiaGazette