KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Wangsa Maju, Datuk Seri Yew Tiong Look yakin dapat merampas kembali kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 9 Mei ini.
Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan itu menyatakan keyakinannya berdasarkan momentum sokongan yang ditunjukkan rakyat mencakupi pelbagai lapisan yang beralih ke arah BN kali ini.
Teong Look turut optimis mampu meraih sokongan padu pengundi Melayu dan Cina di kawasan itu.
“Ramai rakyat khususnya Melayu dan Cina sudah sedar mengenai agenda Pakatan Harapan (PH) yang dikuasai DAP serta belang sebenar mereka.
“Hasil pertemuan saya dengan masyarakat setempat sepanjang kempen sejak 28 April lalu, responnya sangat luar biasa dan bersedia memberi mandat penuh kepada BN.
“Saya dapat melihat wajah-wajah kecewa Wangsa Maju di bawah pakatan selama 10 tahun lalu yang mana kebajikan dan infrastruktur tidak diambil peduli.
“Lagi pun saya bukan asing pada mereka, saya sudah berkhidmat di sini lebih 15 tahun lalu sejak dipilih menjadi wakil rakyat,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Tambah beliau tiba masanya pengundi Wangsa Maju menilai agenda BN yang ikhlas dan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan kesejahteraan rakyat berbilang kaum.
Ujar beliau, ia berbeza denga Pakatan Harapan (PH) yang jelas mempunyai agenda masing-masing selain sering mempergunakan antara satu sama lain.
Tambah beliau lagi, DAP cuba menjadi kuasa dominan dalam PH, selain mempergunakan Mahathir bagi meraih sokongan pengundi Melayu.
“Malangnya kita tidak pernah nampak wakil rakyat mereka yang turun seikhlas hati mendekati permasalahan rakyat di kawasan setempat, lepas menang terus menghilangkan diri sehingga PRU akan datang.
“Itu penyakit kronik membelakangkan kebajikan rakyat yang sangat dominan dalam kalangan pakatan harapan yang sememangnya sukar untuk merawat, situasi ini perlu diubah segera dan lakukan pada 9 Mei ini,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette