KUALA LUMPUR – Ahli seumur hidup DAP, Amran Ahmad membuat satu lagi pendedahan bahawa Penasihat DAP, Lim Kit Siang mensasarkan jawatan Menteri Besar Perak mewakili parti itu jika Pakatan Harapan berjaya mengambilalih negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Amran mendakwa, ia merupakan satu penipuan besar oleh pemimpin tertinggi parti itu yang sebelum ini pernah menafikan DAP tidak pernah berhasrat untuk menuntut jawatan itu.
Katanya, penipuan serta perancangan Kit Siang itu terbongkar menerusi e-mel bertarikh 6 April lalu yang diterima beliau daripada calon untk kerusi Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari berhubung perkara itu.
“Ini satu lagi penipuan besar oleh tokoh besar DAP saudara Lim Kit Siang yang tak lama dahulu pernah mengeluarkan kenyataan DAP tidak pernah mempunyai hasrat untuk menuntut jawatan MB Perak.
“Tetapi ramai melihat kenyataan itu sebagai strategi politik parti itu sebagai mengelak penyokong Melayu lari dari Pakatan Harapan.
“Namun saya menerima e-mel daripada calon bakal MB Perak DAP, Dr. Aziz Bhari menyatakan dengan jelas di sini berbunyi: “Apapun Nizar (Datuk Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin) bukan sosok yang ditonjolkan oleh Amanah (PAN) sebab itu DAP tidak selesa dan mahu tokoh sendiri untuk ditonjolkan,” katanya yang juga Naib Pengerusi Biro Buruh DAP pada sidang media khas di sini hari ini.
Katanya, beliau lebih kerap berbual dengan Abdul Aziz dan memperolehi banyak maklumat tentang rancangan dan hala tuju politik bakal pemimpin itu namun kesal individu berintegriti itu diperalatkan dan diaibkan DAP sehingga ke tahap begini.
Tambahnya, e-mel Abdul Aziz jelas menafikan kenyataan calon Parlimen Iskandar Puteri itu bahawa DAP tidak mahu menuntut jawatan tersebut dan terbukti dia menipu rakyat dan pengundi Melayu di Perak.
“Malah Abdul Aziz sendiri mengesahkan kepada saya perkara ini dan Pengerusi DAP negeri Perak, Nga Kor Ming juga bersetuju untuk DAP ambil alih kerusi Menteri Besar Perak kali ini.
“Ini jelas satu pembohongan besar oleh pemimpin utama DAP sebelum PRU. Kalau orang kata Lim Kit Siang ialah DAP dan DAP ialah Lim Kit Siang maka apabila Kit Siang itu menipu maka DAP juga menipu,” ujarnya.
Amran meminta penduduk di negeri itu berhati-hati dengan PH sambil menyatakan hubungan sebenar antara DAP dan PKR dalam dilihat pada e-mel yang diterimanya itu apabila Abdul Aziz mendakwa Azmin sebagai penyangak, samseng dan pembuli.
Katanya, iniĀ ia membawa mesej bahawa DAP berjaya membiarkan dua pemimpin Melayu bergadunh sesama sendiri dan akhirnya DAP yang menang.
Beliau menyeru orang ramai khususnya pengundi Melayu di Perak supaya tidak mengundi PKR yang tanpa disedar menyerahkan Perak kepada DAP.
Sementara itu, Amran yakin pendedahan yang dibuatnya beberapa hari sebelum hari mengundi dapat disampaikan kepada orang ramai menerusi media sosial, akhbar dan televisyen.
“Mesej saya cukup jelas MB Perak akan berada di bawah telunjuk Kor Ming dan juga Nge Khoo Ham, dan satu lagi yang sah ialah DAP dan PKR bercakaran sejak zaman Pakatan Rakyat lagi,” katanya sambil menambah PH tidak layak memerintah negara. – MalaysiaGazette