SEPANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan bekas veteran UMNO yang bertindak meninggalkan parti itu untuk bersama pembangkang agar tidak merasakan diri mereka hebat.
Jelasnya, kdua-dua mereka boleh disifatkan hebat kerana parti yang mengangkat mereka untuk menjadi pemimpin pada ketika itu.
“Jangan berlagak bila sudah jadi ADUN atau Ahli Parlimen, kita menang bukan kerana kita hebat termasuk bekas-bekas menteri yang kini menyanggah kita.
“Jangan fikir mereka hebat, mereka hebat kerana sokongan kita dan sebab BN maka mereka hebat dan menang,” katanya pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat Sepang di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institut Teknologi Penerbangan (UniKL MIAT) hari ini.
Hadir sama calon BN Parlimen Sepang, Datuk Marsum Paing, calon DUN Dengkil, Shahrum Mohd. Sharif, calon DUN Tanjung Sepat, Datuk Dr. Karim Mansor dan calon DUN Sungai Pelek, Datuk Ng Chok Sin.
Ahmad Zahid dipercayai merujuk kepada dua veteran UMNO iaitu bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz yang kini bersama pembangkang menyerang Barisan Nasional (BN).
Kedua-dua mereka digugurkan daripada ahli UMNO kerana bertindak sepentas dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kempen ceramah di ibu negara.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Mahathir perlu tahu bahawa zaman pemerintahnya telah berlalu dan beliau sepatutnya memberikan laluan kepada orang lain untuk mentadbir negara.
“Hebat dia kerana UMNO dan BN. Kita tidak mahu bercerita pasal najis yang berterabur di sepanjang pemerintahannya, itu kita tidak mahu. Kita tidak mahu aibkan seseorang, mudah-mudahan apabila kita tidak aibkan sesiapa, maka Allah akan tutup aib kita.
“Tetapi aib kita dibuka dengan pelbagai lagi, maka Allah akan buka aib dia sesuatu nanti. Pastikan orang-orang ini tidak ada tempat di hati rakyat untuk memenangi mana-mana kerusi di dalam PRU-14 ini,” katanya. – MalaysiaGazette