Home Nasional Tony hipokrit guna tuduhan DOJ modal kempen

Tony hipokrit guna tuduhan DOJ modal kempen

Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy memberikan penerangan berkenaan 1MDB pada Program Isu Semasa Bersama Arul Kanda di Lucky Garden Bangsar, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 MEI 2018.
Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy memberikan penerangan berkenaan 1MDB pada Program Isu Semasa Bersama Arul Kanda di Lucky Garden Bangsar, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 MEI 2018.

KUALA LUMPUR- Tony Pua dianggap hipokrit kerana menggunakan tuduhan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat terhadap 1MDB sebagai kempen politiknya sedangkan perkara itu masih belum dibawa ke mahkamah.

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berkata, situasi yang dihadapi oleh syarikat tersebut sama dengan apa yang dialami oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mana kes pembelian banglo di bawah harga pasaran masih belum diputuskan.

“Sebenarnya nombor dan maklumat yang digunakan oleh Tony Pua adalah berdasarkan dakwaan yang dibuat oleh DOJ dan sehingga hari ini DOJ masih belum membawa perkara ini ke mahkamah untuk dibicarakan apatah lagi diputuskan sama ada memang berlaku kesalahan tersebut atau tidak.

“Ini situasi sama yang dialami oleh Guan Eng tetapi mengapa Tony tidak menjadikannya sebagai isu jika dia menggunakan logik tersebut (sesuatu tuduhan adalah benar walaupun masih belum dibicarakan atau diputuskan mahkamah)?

“Saya anggap dia adalah hipokrit,” katanya semasa sidang media selepas memberi penerangan mengenai isu-isu 1MDB kepada penduduk di Bangsar dekat sini malam tadi.

Berulang kali menjelaskan beliau tidak akan membuat spekulasi mengenai dakwaan DOJ kerana ia masih belum dibawa ke mahkamah, Arul turut menegaskan, beliau tidak mengetahui siapakah MO1 yang disebut di dalam laporan DOJ kerana jabatan itu sendiri tidak pernah mendedahkan identiti individu  tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy memberikan penerangan berkenaan 1MDB pada Program Isu Semasa Bersama Arul Kanda di Lucky Garden Bangsar, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 MEI 2018

Menurut Arul beliau tidak mengadakan ceramah isu 1MDB itu untuk mempertahankan mana-mana individu mahupun parti politik sebaliknya merasa bertanggung jawab memberi penjelasan kepada rakyat mengenai isu syarikat tersebut yang telah dipolitikkan.

“Saya tidak menganggotai mana-mana parti politik dan tidak hadir ke sini untuk mempertahankan sesiapa.

“Saya merasakan rakyat perlukan penjelasan dan daripada sesi tadi dan sesi-sesi sebelumnya soalan-soalan di awal acara mesti panas tetapi apabila tiba ke penghujungnya mereka bertepuk tangan dan bersalaman dengan saya.

“Ini menunjukkan mereka berpuas hati dengan penjelasan tersebut dan mereka amat memerlukan penjelasan dari kami sendiri, syarikat yang diperkatakan itu,” katanya.

Arul telah mengadakan 30 ceramah di kesemua negeri sejak beberapa minggu lalu.-MalaysiaGazette