ALOR SETAR – Tuduhan pembangkang kononnya warga Bangladesh dibawa masuk untuk mengundi semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hanya gimik politik untuk menghasut rakyat, kata Datuk Seri Johari Baharum.
Timbalan Menteri Pertahanan itu menafikan wujud pengundi Bangladesh, malah menjelaskan ia bukan suatu proses yang mudah untuk seseorang itu didaftarkan sebagai pemilih pada pilihan raya.
“Pengundi Bangla tidak betul, benda ini tidak benar. Ingat senang nak keluarkan daftar pemilih kepada mereka yang bukan warganegara kita,” kata beliau semasa ditemui wartawan.
Beliau menyifatkan tuduhan tersebut adalah gimik politik yang dimainkan pembangkang dengan mengitar semula isu yang sudah pun lapuk dan pernah digunakan sebelum ini semasa pilihan raya umum lalu.
“Ini gimik politik, isu kitar semula dan mereka akan mainkan banyak isu-isu lama yang sudah kerajaan jawab,” ujarnya.
Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat tuduhan berhubung kemasukkan warga Bangladesh beramai-ramai bagi mengundi pasa PRU14. – MalaysiaGazette