Home Utama Tun Daim pun setuju perkenalkan GST

Tun Daim pun setuju perkenalkan GST

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada Program Bual Bicara "Mandat" sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Sri Pentas, Bandar Utama Damansara. Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 07 MEI 2108

KUALA LUMPUR – Sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijadikan ‘senjata’ oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas pentas ceramah pembangkang sebenarnya pernah dikaji oleh beliau sendiri lebih 20 tahun lalu.

Malah, Tun Daim Zainuddin yang menjadi menteri kewangan ketika itu juga bersetuju untuk melaksanakannya.

Bagaimanapun, sistem percukaian itu ditarik balik pada saat-saat akhir disebabkan kesan politik.

Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau bagaimanapun mengambil risiko politik demi rakyat dan ekonomi negara.

“Bagi saya GST adalah sistem percukaian paling baik dan progresif yang mampu memberi manfaat kepada rakyat. Saya percaya lambat-laun rakyat sedia menanggung GST,” katanya dalam program Mandat terbitan TV3 malam tadi.

Najib buat sekian kali turut mengulangi GST yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak tiga tahun lalu bukan punca kenaikan kos sara hidup, sebaliknya ia disebabkan oleh pengembangan ekonomi.

“Kita perkenalkan GST dengan lebih 600 barangan dan perkhidmatan dikecualikan dengan cukai itu dan ia tidak pernah berlaku di mana-mana negara di duni ini. Selain itu, kadar enam peratus yang dikenakan juga antara terendah,” tambahnya.

Tegas beliau, jika GST dimansuhkan sekalipun, harga barangan tidak akan turun kerana kerajaan tidak pernah mengawal harga.

Namun, seandainya Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula, ia akan menyebabkan lonjakan harga barangan dengan lebih ketara dan yang susahnya adalah rakyat.

Walaupun pembangkang mewujudkan persepsi buruk terhadap GST namun Najib percaya, pembangkang tidak mampu mengurus ekonomi negara jika GST dimansuhkan.

Ini kerana hasil daripada sistem percukaian itu telah digunakan untuk menampung kos kesihatan, kenaikan gaji penjawat awam, pengurangan 2 peratus daripada cukai pendapatan, pembayaran elaun-elaun kepada imam, bilal, tok siak, juga insentif kepada para nelayan, pesawah dan sebagainya.

Dengan hasil cukai itu juga, katanya, kerajaan boleh menaikkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sehingga RM2,000 atau RM166 sebulan.

“Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu pun memperkenalkan GST kerana sumber minyak ada hadnya. Macam kita, hanya mampu menghasilkan 600,000 tong sehari dan jika kita tidak menemui telaga minyak baru bermakna hasil minyak menguncup.

“Jadi kita kena buat persediaan jangka panjang agar tidak menghadapi kekurangan sumber pada masa depan,” kata Najib. – MalaysiaGazette