SEPANG – Kerajaan mendapati jumlah penonton yang ramai dalam media sosial semasa ceramah politik pembangkang pada Sabtu lalu di Putrajaya dipercayai menggunakan taktik ‘membeli’ penonton.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, perkara itu telah disemak dan mendapati strategi itu digunakan oleh Pakatan Harapan (PH) bagi menarik penonton dan membuktikan seolah-olah pengundi di Putrajaya menerima mereka.
“Kita telah semak bahawa siapa yang datang itu bukan pengundi di tempat itu, kami telah semak bahawa orang luar lebih ramai di ceramah itu.
“Kita juga telah semak jika sesuatu akaun Facebook yang terlalu ramai itu ramai penontonnya, ada kaedah pembelian yang telah dilakukan,” katanya di satu majlis di Sepang di sini hari ini.
Media sosial seperti Facebook dipantau oleh Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia di bawah Kementerian Komunikasi dan Multmedia (KKMM).
Zahid merujuk kepada dakwaan PH bahawa lebih 62,000 penonton Facebook menonton ceramah Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya baru-baru ini.
Justeru itu, Ahmad Zahid meminta rakyat diminta agar tidak percaya dan terpengaruh dengan dakwaan palsu pembangkang.
“Ini untuk menunjukkan bahawa mereka ada pengaruh, mereka tidak tahu bahawa majoriti senyap seperti kita tidak ganas tetapi rakyat dan pengundi akan tetap bersama kita kerana gelombang baharu akan menyokong warna biru tua,” katanya lagi.
Felo Pengajian Komprehensif Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata ada unsur pelik dan khilaf yang berlaku dalam siaran langsung Facebook pembangkang pada malam Sabtu lalu.
Ujarnya, kaedah membeli penonton di Facebook mula dilakukan secara meluas oleh parti-parti pembangkang bagi menggambarkan sokongan rakyat kepada gabungan PH. -MalaysiaGazette