KUALA LUMPUR – Nilai purata gaji dan upah bulanan yang diterima pekerja meningkat sebanyak 7.7 peratus setahun kepada RM2,160 setahun berbanding RM2,000 pada 2016.
Kaji Selidik Gaji dan Upah yang dijalankan Jabatan Statistik Malaysia mendapati pekerja wanita meningkat sebanyak 8.2 peratus manakala pekerja lelaki naik tujuh peratus kepada RM2,170 dan RM2,154 sebulan.
Sementara itu, nilai purata gaji dan upah bagi pekerja yang berpendidikan tinggi kekal berkembang pada kadar tiga peratus kepada RM3,400 sebulan.
Selain itu, kadar pertumbuhan bagi gaji dan upah pekerja di kawasan bandar meningkat kepada 6.6 peratus setahun kepada RM2,260 sebulan.
Manakala purata gaji bagi pekerja di kawasan luar bandar berkembang sebanyak 3.6 peratus kepada RM1,400 sebulan.
Kaji selidik yang dijalankan setiap tahun itu dilakukan menerusi pengumpulan maklumat mengenai gaji dan upah bulanan isi rumah berdasarkan prinsip pekerjaan kepada pekerja yang bekerja sekurang-kurangnya enam jam sehari atau sekurang-kurangnya 20 hari sebulan.
Jumlah keseluruhan pekerja di Malaysia pada 2017 adalah 8.7 juta. – MalaysiaGazette