Home Politik Kempen hari terakhir kena ketuk pintu rumah

Kempen hari terakhir kena ketuk pintu rumah

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu menumpukan kempen agresif pada saat-saat akhir, kata penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi.

BN termasuk semua parti komponennya perlu berkempen pintu ke pintu sepanjang hari terakhir ini.

Menurutnya, pendekatan setengah komponen BN termasuk MIC yang gemar berceramah sahaja tidak memadai kerana masih ramai pengundi tidak hadir mendengar ceramah.

“Tetapi dalam konteks isu semasa kebanyakan kempen berpolitik dipengaruhi persepsi yang ditular pembangkang dan untuk menangani isu ini, BN termasuk MIC perlu bekerja lebih kuat pada hari ini (hari terakhir kempen),” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Awang Azman berkata demikian ketika diminta mengulas peluang calon-calon MIC yang dilihat agak terumbang-ambing di Parlimen Segamat, Port Dickson, Sungai Siput dan juga Cameron Highlands.

“Kita kena lihat sejauh mana MIC dan BN turun bersemuka setiap pengundi menjelaskan isu dan merayu pengundi supaya memberi peluang.

“Faktor kedua sejauh mana agresifnya Pakatan Harapan yang memainkan isu sensitif dan sentimen mengkaburi pengundi sepanjang berkempen.

“MIC perlulah bertindak agresif dan dinamik. Kita sebagai contoh boleh lihat PH memainkan isu ramalan mereka semata mata yang dikeluarkan Invoke yang merupakan sebahagian politik mereka.

“BN mempunyai kewangan yang kukuh dan sudah lama bertapak dan mentadbir negara, maka tidak gunanya dia turut mengikuti cara sedemikian (ramalan Invoke) untuk ramal kerusi,” tegas beliau. – MalaysiaGazette