Home Politik BN pilihan terbaik, kata Najib

BN pilihan terbaik, kata Najib

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada Program Bual Bicara "Mandat" sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Sri Pentas, Bandar Utama Damansara. Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 07 MEI 2108

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempunyai keyakinan tinggi Barisan Nasional (BN) akan kekal menjadi pilihan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang berlangsung pada Rabu ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional percaya BN mempunyai asas politik kukuh yang menjadi kekuatan kepada parti tersebut.

“Keyakinan itu berdasarkan sambutan dan kepercayaan rakyat terhadap parti serta hasil tinjauan daripada turun padang yang dilakukan oleh parti berkenaan.

“Tidak ada tsunami Melayu dan kita yakin akan terus mendapat sokongan Melayu,” katanya dalam program Mandat TV3 malam tadi.

Najib mempersoalkan jika pembangkang yakin sokongan orang Melayu kenapa tidak ada kempen besar-besaran di kawasan Melayu.

Ini kerana, kebanyakan kempen pembangkang di kawasan bandar.

“Yang hadir sebahagiannya penyokong DAP dan mereka gunakan bas membawa penyokong kawasan lain, bukan penyokong setempat,” katanya.

Najib berkata, beliau sedih kerana pembangkang terus memainkan politik kebencian dengan menabur fitnah dan persepsi.

Sedangkan, beliau berharap politik Malaysia mengamalkan  demokrasi matang dengan memberi fokus tentang trek rekod, prestasi, dasar, agenda, manifesto dan hala tuju negara.

“Bukan soal fitnah, bukan soal persepsi, bukan politik kebencian. Malangnya pembangkang tidak ada senjata ampuh, melainkan fitnah kebencian,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau mahu pilihan raya umum yang akan berlangsung pada 9 Mei ini, rakyat bukan sahaja menunaikan tanggungjawab untuk mengundi tetapi juga menentukan masa depan negara.

Tegas beliau, jika rakyat Malaysia terus memilih Barisan Nasional yang mempunyai trek rekod 60 tahun, sudah tentu kepimpinan parti itu mempunyai keupayaan untuk memimpin negara dan rakyat.

Tetapi, jika pengundi memilih pembangkang, banyak risiko, ketidaktentuan akan berlaku termasuk perpecahan yang serius dalam kalangan Pakatan Harapan hingga gagal mewujudkan kerajaan yang stabil.

“Mereka ini bermusuhan berdekad-dekad lamanya dan mempunyai ideologi berbeza, selain Tun Dr Mahathir sendiri mengakui tidak mungkin mampu melaksanakan manifesto mereka,” katanya.

Malah, ucapan-ucapan pemimpin DAP telah jelas membuka tembelang mereka bahawa pakatan pembangkang merupakan permainan politik.

Dalam pada itu, Najib juga optimis Barisan Nasional mampu menawan Kelantan kerana rakyat negeri itu sudah mula menerima parti tersebut.

“Mereka mungkin akan beralih kali ini tetapi kita kena berkerja bersungguh-sungguh. Ada sehari lagi, mudah-mudahan akan timbul kesedaran, bukan sahaja di Kelantan dan di seluruh negara bahawa BN adalah yang terbaik. – MalaysiaGazette