KUALA LUMPUR – Esok berlangsungnya kemuncak proses sebuah negara demokrasi iaitu proses membuang undi kepada pemimpin pilihan rakyat Malaysia bagi tempoh lima tahun.
Setiap kali proses demokrasi diamalkan, kerajaan mengembalikan kuasa kepada rakyat sebagai penentu keputusan dan sudah pasti setiap daripada mereka mempunyai pandangan dan harapan masing-masing.
Bagi seorang jurutera, Arjunan Lachimanan, 32, tidak kira parti mana yang akan menjadi kerajaan dan siapa juga wakil rakyat dipilih, perkhidmatan kepada rakyat perlu diteruskan dan dilaksanakan dengan komited.
Jelasnya, rakyat akan memberikan mandat kepada sebuah parti untuk satu tempoh masa yang panjang justeru tanggungjawab perlu dilaksanakan secara berintegriti.
“Harap wakil rakyat yang dipilih esok tidak kira daripada parti mana akan menunaikan janji-janji mereka dan berkhidmat untuk rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Arjunan sebagai pengundi awal berharap agar semua rakyat yang tidak mempunyai halangan menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi esok.
“Saya sudah mengundi awal, undi pos jadi saya sudah jalankan tanggungjawab saya.
“Jadi, saya harap rakyat lain pun menjalankan tanggungjawab keluar mengundi dan boleh buat pilihan yang betul agar masa depan kita terjamin,” katanya lagi.
Norfadzila Yunus , 55, ketika ditemui tidak sabar menunggu esok kerana sudah membuat keputusan untuk memilih parti dan wakil rakyat pilihannya di Pandan.
“Memang sangat teruja dan ini adalah saat yang saya tunggu-tunggu setiap lima tahun. Kita tunggu lima tahun siapa yang kita nak pangkah, siapa yang kita nak pilih sebagai pemimpin kita, memang tak sabar,” katanya.
Begitu juga perasaan Bashah Romli, 47, bertahun-tahun menunggu, esok merupakan saat yang ditunggu-tunggunya sebagai seorang pengundi.
Baginya, rakyat seluruh negara juga perlu mempersiapkan diri dan memastikan pilihan yang dibuat adalah tepat dan tidak merugikan diri sendiri.
“Saya tidak sabar untuk membuat pemilihan esok demi negara. Saya memang tak sabar sebab kita nak tahu siapa yang akan menang berdasarkan pemilihan kita,” ujarnya.
Ahmad Shah, 62, dalam pada itu tidak merasakan perasaannya sama ada teruja atau tidak untuk keluar mengundi penting tetapi kesedaran mengenai proses demokrasi itu sendiri.
“Dalam pilihan raya bukan yang penting adalah keterujaan keluar mengundi tetapi sebagai orang Melayu saya nak orang Melayu sedar mengapa perlu dia keluar mengundi.
“Pasal apa perlu keluar mengundi sebab perlu buat pilihan dan keputusan yang tepat. Pilihan yang terbaik adalah kerajaan yang ada sekarang sebab ia akan menjamin anak cucu kita pada masa depan,” jelasnya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya pada 9 Mei sejurus selepas pembubaran Parlimen yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 7 April yang lalu.
PRU-14 ini membabitkan sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri.-MalaysiaGazette