KUALA LUMPUR- Semua pemimpin masyarakat dari semua parti perlu menyatukan semua rakyat Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) esok.
Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd., Datuk Seri Nazir Tun Razak berkata, semua pihak perlu menerima apa sahaja keputusan yang telah dibuat rakyat dalam menentukan siapakah pemimpin mereka untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Esok kita semua akan mengundi demi masa hadapan Malaysia.
“Semua orang perlu mengundi, institusi-institusi di negara ini perlu memastikan proses pengundian dilaksanakan secara telus dan kita kemudiannya perlu menerima keputusan tersebut.
“Juara tidak menang semuanya dan yang kalah tidak rugi semuanya kerana itulah batu asas untuk menegakkan demokrasi.
“Sudah terlalu banyak perpecahan yang retorik manakala diri pula diselebungi emosi,” katanya di dalam posting di Instagramnya hari ini.
Nazir yang merupakan adik bongsu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu turut memuatkan poster yang mengandungi petikan kata-kata daripada seorang pakar politik dan penulis tersohor Amerika Syarikat, Larry J Sabato dengan hashtag fair voting (pengundian adil). – MalaysiaGazette