Home Utama Seramai 14,449,200 orang akan mengundi esok – SPR

Seramai 14,449,200 orang akan mengundi esok – SPR

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

PUTRAJAYA – Seramai 14,449, 200 orang pemilih berdaftar akan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 esok.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa bagi menjalankan proses pengundian bagi PRU14 pihaknya telah menyediakan 8,253 Pusat Mengundi yang mempunyai 28,115 saluran mengundi.

Pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, pada hari mengundi esok, semua pusat mengundi akan dibuka mulai 8 pagi manakala waktu tutup pengundian pula adalah berbeza-beza mengikut lokasi Pusat Mengundi dan jumlah pengundi sebelum masa pengundian akan ditutup sepenuhnya pada jam 5.00 petang.

Jelas beliau, memandangkan keadaan cuaca pada hari pengundian diramalkan akan berlaku hujan, para pengundi adalah dinasihatkan supaya merancang masa untuk keluar mengundi dan tidak keluar mengundi di saat-saat akhir.

“Bagi pengundi di lokasi Pusat Mengundi yang ditutup lebih awal, mereka juga dinasihatkan supaya keluar mengundi pada awal waktu.

“Manakala bagi pengundi di Pusat Mengundi yang ditutup pada jam 5.00 petang, mereka dinasihatkan supaya keluar mengundi secara berperingkat mengikut kesesuaian masa mereka dalam tempoh yang ditetapkan agar tidak berlaku kesesakan di Pusat Mengundi,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau,pengundi-pengundi yang akan keluar mengundi esok dinasihatkan untuk membuat semakan maklumat pengundian masing-masing seperti nama Pusat Mengundi dan saluran mengundi (dalam buku Daftar Pemilih) melalui aplikasi MySPR Semak atau melalui laman pengundi.spr.gov.my atau sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPR <jarak> SEMAK <jarak> NO.KAD PENGENALAN dan hantar kepada 15888 atau telefon ke talian 03-88927018 atau semak di barung SPR di setiap Pusat Mengundi pada Hari Mengundi.

Justeru kata beliau parti-parti politik ‘TIDAK DIBENARKAN’ membuka, menubuhkan atau menyenggarakan suatu pejabat atau barang dengan alasan untuk membantu pengundi-pengundi menyemak maklumat pengundian mereka.

Suruhanjaya itu juga meminta kerjasama pengundi-pengundi supaya tidak memberikan kad pengenalan mereka kepada pihak-pihak lain kerana ia mungkin akan disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan akan menimbulkan masalah pada hari pengundian.

Mohd Hashim juga memberitahu bahawa setiap pengundi akan diperiksa jarinya untuk memastikan jari mereka bebas daripada sebarang tanda dakwat atau terdapat bahan yang boleh menghalang dakwat pilihan raya lekat dijari seperti pengilat kuku, minyak atau jari palsu.

“Setelah pemeriksaan dan berpuas hati, pengundi akan mencelup jari telunjuk kirinya ke dalam botol dakwat yang disediakan oleh SPR.

“Jika ada pengundi yang enggan jarinya dicelup dakwat, maka kertas undi tidak akan diberikan kepadanya. Bagi semua pengundi, mereka juga dinasihatkan supaya JANGAN TERPEDAYA dengan permintaan sesetengah pihak yang meminta jari mereka ditanda dengan dakwat sebelum pergi mengundi,” tegas beliau.

Dalam perkembangan sama, SPR juga meminta para majikan agar membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk pergi mengundi yang premis yang melarang pekerja boleh diambil tindakan mengikut seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu didenda tidak lebih RM5,000 atau dipenjara setahun jika sabit kesalahan.

Tambahnya, sebarang aktiviti berkempen dilakukan terutamanya aktiviti merayu dan meraih undi pada hari mengundi adalah dilarang sama sekali dan merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Tegas beliau lagi, sepanjang tempoh pengundian, ejen-ejen pilihan raya dibenarkan berada dalam tempat mengundi (saluran) bagi memerhati proses pengundian dan ejen yang bertugas diingatkan supaya tidak memakai pakaian yang menunjukkan lambang parti, gambar dan nama calon yang merujuk kepada parti politik tertentu.

“Begitu juga pengundi-pengundi tidak dibenarkan memakai pakaian yang mempunyai lambang parti, gambar, nama calon apabila masuk ke pusat mengundi kerana pada hari mengundi tidak dibenarkan sebarang bentuk kempen atau aktiviti kempen dilakukan oleh mana-mana orang.

“Justeru, proses pengiraan undi akan dijalankan selepas proses pengundian tamat mengikut waktu-waktu yang telah ditetapkan di tempat mengundi itu dan bukannya di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU). Semasa proses pengiraan undi dijalankan, Ejen-ejen pilihan raya juga turut berada dalam tempat mengundi memerhati proses pengiraan undi.

“SPR turut menasihatkan kepada semua pihak iaitu calon-calon, penyokong-penyokong parti, pekerja-pekerja parti dan pengundi-pengundi supaya mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan oleh SPR dan polis untuk memastikan penjalanan proses pengundian PRU14 berjalan lancar, aman dan harmoni,” ujar beliau.-MalaysiaGazette