Home Utama Tenang dan fokus strategi Arul tawan hadirin

Tenang dan fokus strategi Arul tawan hadirin

Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy memberikan penerangan berkenaan 1MDB pada Program Isu Semasa Bersama Arul Kanda di Lucky Garden Bangsar, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 MEI 2018

KUALA LUMPUR- Tetap tenang dan fokus meskipun diasak dengan pelbagai soalan panas dan dikritik Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Arul Kanda Kandasamy tetapi tidak melatah dan terus berhujah berpaksikan fakta.

Mempunyai latar belakang dalam bidang perundangan dan perbankan, Arul teguh dengan prinsipnya dan tidak sesekali tersasul atau terperangkap dengan soalan-soalan yang ditanya bertalu-talu di mana objektif mereka hanya mahu beliau mengesahkan semua tuduhan liar tanpa asas yang berserakan di media-media sosial itu adalah benar.

Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy memberikan penerangan berkenaan 1MDB pada Program Isu Semasa Bersama Arul Kanda di Lucky Garden Bangsar, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 MEI 2018

Ini kerana setiap kali beliau menyampaikan fakta mengenai 1MDB, setiap kali itu akan kedengaran pelbagai suara nakal atau paling tidak pun keluhan daripada penonton yang tidak berpuas hati kerana CEO syarikat kontroversi itu tidak pernah menghentam mana-mana pihak ataupun individu seperti yang diharapkan oleh para hadirinnya.

Apabila diberi analogi tuduhan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) terhadap 1MDB dengan kes rasuah yang dihadapi oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mana kedua-duanya masih belum diputuskan bersalah, para penonton akan mula membuat bising dan tidak puas hati.

Arul banyak merujuk kepada laporan siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di dalam program tersebut dan sering mengingatkan audiennya, ahli PAC turut dianggotai oleh lima pemimpin pembangkang iaitu Tan Seng Giaw, Datuk Kamarul Baharin, Datuk Takiyudin Hassan, William Leong dan Tony Pua, antara ahli Parlimen yang paling kerap menimbulkan isu 1MDB.

Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy memberikan penerangan berkenaan 1MDB pada Program Isu Semasa Bersama Arul Kanda di Lucky Garden Bangsar, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 MEI 2018

“Jika anda meragui keputusan PAC, ini bermakna Tony Pua tidak buat kerjanya betul-betul kerana PAC turut dianggotai oleh ahli Parlimen pembangkang,” tegasnya namun malang sekali kenyataan itu sukar diterima oleh orang Bangsar malam tadi.

Bagi penonton, nama-nama pemimpin pembangkang itu tidak perlu disebut walaupun hakikatnya mereka adalah tulang belakang serta mengetahui luar dalam setiap maklumat yang diperolehi daripada siasatan tersebut.

Serangan terhadap Arul itu bukan sahaja berlegar sekitar 1MDB malah latar belakangnya turut dijadikan lapang sasar untuk ditembak soalan panas yang kadang-kala tersasar daripada agenda asal program tersebut.

Di Program Isu-Isu Semasa Negara, Anda Tanya Kami Jawab edisi ke-30 itu Arul memilih untuk berbahasa Inggeris memandangkan audiennya adalah Bangsar terkenal sebagai kawasan urban dan kelas menengah yang mana Bahasa Inggeris merupakan bahasa pertuturan harian penduduknya.

Situasi bertukar tegang ketika sesi soal jawab antara Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dan penduduk tempatan berkenaan 1MDB pada Program Isu Semasa Bersama Arul Kanda di Lucky Garden Bangsar, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 07 MEI 2018

Bagaimanapun, seperti isu 1MDB iaitu satu isu perniagaan yang dipolitikkan, pemilihan bahasa oleh Arul juga “dipolitikkan” oleh penonton berbangsa India yang meminta Arul berceramah di dalam bahasa Tamil sedangkan lelaki itu sendiri berbicara di dalam Bahasa Inggeris bersama rakan-rakannya yang lain.

Bagaikan pejuang Bahasa Tamil atau mungkin pejuang kaum India, situasi tersebut mencetuskan pertikaman lidah dalam kalangan penonton yang terdiri daripada pelbagai kaum tetapi Arul dengan tenang dan lemah lembut berbahasa Tamil dengan kosa-kata yang terhad memohon maaf daripada semua hadirin kerana tidak fasih berbahasa ibundanya sendiri sebaliknya menawarkan diri untuk berbahasa Melayu sekiranya perlu.

Sesi selama lebih dua jam itu sentiasa hangat dengan sorakan dan jeritan penonton sehingga menganggu kelancaran program memaksa Arul bertegas meminta semua hadirin memberi ruang untuknya menghabiskan ayat.

Bila saya katakan bertegas ia hanyalah bermaksud ayat “tuan, izinkan saya habiskan penjelasan saya dahulu,” yang diulang-ulang tanpa menaikkan nada suara.

Provokasi demi provokasi, bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (RMC) ini tetap tenang dan bertahan dan di wajahnya tiada segaris put kerut apatah lagi mahu meninggikan suara atau menarik muka masam saat diasak dari pelbagai sudut.

Malah saya lihat wajah penonton lain yang nampak tertekan berada di dalam suasana tegang sebegitu.

“Saya juga manusia. Saya dikritik, saya diserang secara peribadi tetapi tanggung jawab saya dan syarikat adalah untuk memberi penjelasan kepada rakyat.

“Ini situasi biasa pada setiap ceramah yang mana pada awalnya mereka mengajukan soalan panas tetapi akhirnya mereka boleh menerima dan saya jangka mereka berpuas hati,” katanya kepada media selepas sesi ceramah tamat.

Arul memang bersedia berhadapan lawannya yang lantang dan berpelajaran tinggi malam tadi namun malangnya si penonton sendiri yang tidak bersedia membuka minda menerima fakta yang dibentangkan.-MalaysiaGazette