Home Politik ‘Saya sedia menjadi hamba kepada anda’ – Yew Teong Look

‘Saya sedia menjadi hamba kepada anda’ – Yew Teong Look

Calon Barisan Nasional Parlimen Wangsa Maju, Datuk Seri Yeow Teong Look (kanan) bersalaman dengan sebahagian penduduk ketika hadir pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Sentul Murni di Sentul, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 MEI 2018.
Calon Barisan Nasional Parlimen Wangsa Maju, Datuk Seri Yeow Teong Look (kanan) bersalaman dengan sebahagian penduduk ketika hadir pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Sentul Murni di Sentul, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Pengundi Parlimen Wangsa Maju diminta berfikir secara matang, menilai dengan rasional sebelum membuat keputusan menentukan masa depan negara.

Calon Barisan Nasional (BN) kawasan tersebut, Datuk Seri Yew Tiong Look berkata, ini kerana tempoh lima tahun akan datang bukan tempoh singkat dan pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan medan perjudian nasib mereka.

“Tarikh 9 Mei (esok) adalah hari yang akan menentukan hala tuju negara untuk lima tahun seterusnya dan jangan terpengaruh dengan slogan ubah, usah terpesona dengan harapan palsu yang belum tentu menjanjikan sinar bahagia.

“Sandarlah harapan saudara-saudari pada Barisan Nasional yang sudah terbukti jasanya kepada rakyat dalam usaha menjamin kesejahteraan hidup pelosok rakyat jelata sejak zaman berzaman.

“Wangsa Maju bukan asing untuk saya. Saya pernah diangkat sebagai wakil rakyat kawasan ini pada PRU tahun 2004 dengan sokongan padu dan saya masih berkhidmat sejak 15 tahun lalu untuk anda dan segala yang diusahakan membawa hasill, bukan sekadar retorik,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tiong Look berkata, penampilan pada PRU14 adalah demi kepentingan rakyat yang dinafikan sejak 10 tahun lalu dan menagih ruang untuk berkhidmat semula kepada masyarakat.

“Tidak kira apa juga bangsa, agama mahupun ideologi politik, saya memohon sokongan anda untuk kesejahteraan rakyat bagi Wangsa Maju yang lebih baik dan dinamik.

“Saya sedia menjadi hamba kepada anda. Berilah kami peluang, undilah BN demi kesejahteraan dan masa depan yang lebih baik.

“Percayalah, saya akan tunaikan segala janji dan akan berkhidmat dengan baik untuk anda semua,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette