Home Nasional Seronok mengundi dapat pilih pemimpin baik

Seronok mengundi dapat pilih pemimpin baik

Khamis Gon, 78 ketika hadir untuk membuang undi pada Hari Pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Maktab Mahmud, Langkawi. foto AQIRA AZEMI, 09 MEI 2018

LANGKAWI – Biarpun berkerusi roda dan menghidap penyakit jantung, kencing manis dan gout, Khamis Gon tidak mahu melepaskan peluang menunaikan tanggung jawabnya sebagai warga Malaysia untuk memilih pemimpin pada hari ini.

Dia yang ditemani anak perempuannya, Kamariah Khamis, 50, tiba di Maktab Mahmud Langkawi seawal jam 7.15 pagi walaupun pusat pengundian tersebut masih belum dibuka.

“Orang muda sekarang lain daripada pakcik, dulu. Kami setia, tidak berubah.

“Pakcik seronok mengundi kerana dapat pilih pemimpin yang baik,” katanya sambil mengesat air matanya yang berlinang.

Menurut Kamariah, bapanya begitu teruja untuk turun mengundi pada hari ini.

“Sejak dua, tiga hari lepas lagi ayah dah teruja hendak mengundi. Tidak berhenti ingatkan kami.

“Pagi ini pun, ayah yang bangun awal. Dia lebih bersemangat daripada kita,” katanya.

Kamariah yang tinggal di Kuah terpaksa membawa bapanya mengundi di Ulu Melaka dahulu sebelum menghantar ibunya ke Kedawang yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari situ untuk mengundi pula.

Selepas itu, barulah dia akan mengatur perjalanan bersama anaknya ke Sekolah Kebangsaan Langkawi, untuk mengundi.

“Tempat mengundi kami termasuk ibu apa dan adik-beradik, berlainan. Jadi, saya uruskan ibu dan ayah mengundi terlebih dahulu,” katanya.-MalaysiaGazette

 

+ posts