Home Politik Nawawi puasa sempena hari mengundi

Nawawi puasa sempena hari mengundi

PRU14
Calon Barisan Nasional (BN) P.004 Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad dan isteri, Datin Shabariah Mat Hassan selesai mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Maktab Mahmud, Langkawi. foto AQIRA AZEMI, 09 MEI 2018

LANGKAWI – Penyandang kerusi Parlimen Langkawi Datuk Ir Nawawi Ahmad menunaikan puasa sunat pada hari ini.

Perkara tersebut didedahkan oleh isterinya, Datin Shabariah Mat Hassan yang turut mengiringi suaminya mengundi di Maktab Mahmud pagi tadi. Pasangan tersebut tiba di pusat pengundian berkenaan pada jam 9.13 pagi.

Berpakaian sedondon berwarna biru, Shabariah menjelaskan, suaminya kerap berpuasa sepanjang tempoh berkempen yang bermula 28 April lalu.

“Sepanjang tempoh berkempen, beliau banyak berada di luar. Keluarnya jam 8 pagi, pulang pula pada jam 2 atau 3 pagi.

“Sepanjang tempoh itu, beliau banyak berpuasa termasuk hari ini,” katanya.

Shabariah yang berharap kemenangan Nawawi kali ini, berkata sekalipun beliau jarang mengiringi suaminya sewaktu berkempen, tetapi doanya tidak pernah putus.

Dalam pada itu, Nawawi berharap peratusan pengundi keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini meningkat lebih tinggi berbanding lima tahun lalu iaitu sebanyak 84.5 peratus.

“Saya lihat ramai pengundi sudah keluar mengundi dari jam 8 pagi tadi dan agak berkurangan kini (kira-kira jam 11 pagi),” katanya.

Pada PRU kali ini, Nawawi berdepan saingan tiga penjuru di Parlimen Langkawi termasuk dicabar mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Zubir Ahmad (PAS).-MalaysiaGazette