
KUALA LUMPUR – Kasih sayang yang tinggi seorang anak jelas tergambar di wajah Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir untuk mengundi di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan, Pahang pagi ini.
Ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Barisan Barisan Nasional (BN) itu kelihatan penuh teruja menolak kerusi roda untuk membawa ibunya, Tun Rahah Mohammad Noah,85.
“Alhamdulillah selesai mengundi. Saya bawa bonda Tun Rahah sekali undi tadi, walau dalam kerusi roda bonda tetap semangat tunaikan kewajiban pada negara,” katanya yang memuatnaik status di laman rasmi Facebook, sebentar tadi.
Turut kelihatan, dua adik Najib iaitu Datuk Seri Nazir dan Datuk Nazim.

Sementara itu, sebelum keluar mengundi, Najib sempat berkongsi gambar bersama cucunya, Adam Razak sambil melihat potret beliau semasa muda bersama Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein.
Calon BN dan penyandang kerusi Parlimen Pekan itu juga sempat menitip pesanan kepada rakyat Malaysia yang keluar mengundi.
“Kepada semua rakyat Malaysia yang layak, selamat menunaikan kewajiban dan selamat mengundi saya ucapkan! Buatlah pilihan yang terbaik untuk masa depan negara, semoga terus hebat dan bertambah hebat Malaysia, Insya-Allah,” katanya dalam Facebook miliknya itu. – MalaysiaGazette