KUALA LUMPUR- Pilihanraya umum ke-14 bukanlah mengenai pertembungan Datuk Seri Najib Tun Razak mahupun Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sebaliknya menurut calon Barisan Nasional Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, pilihanraya adalah tempat untuk wakil yang telah dipilih berkhidmat untuk rakyat dan mampu membawa kestabilan politik serta membangunkan ekonomi negara.
“Pilihanraya adalah untuk rakyat maka rakyat kena pandai menilai kerana tiada siapa boleh memaksa mereka untuk memilih.
“Kita juga berubah ke arah yang lebih baik, menjadikan Malaysia sebuah negara yang selamat, stabil dan maju di samping mempunyai kestabilan politik yang utuh.
“Apabila politik stabil maka pertumbuhan ekonomi akan jadi lebih dan dari situ semua rakyat akan menerima manfaatnya,” katanya selepas mengundi di sini hari ini.
Johari bersama isteri Datin Seri Zurwati Haslinda Zainal Bahry tiba di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Taman Maluri pada kira-kira jam 8.35 pagi tadi.
Kedua-duanya mengundi di saluran tiga.
Menurut Johari, sepanjang 11 hari tempoh berkempen, beliau mendapati calon-calon di Parlimen Titiwangsa sangat menghormati di antara satu sama lain dan membawa strategi masing-masing tanpa memburukkan pihak lawan.
Jelasnya, persaingan politik sihat seperti itu seharusnya dijadikan amalan sejajar dengan matlamat Malaysia untuk menjadi negara.
Parlimen Titiwangsa menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan Johari, calon Pas, Mohamad Noor Mohamad dan calon Pakatan Harapan, Rina Harun.
Terdapat 61,597 pengundi yang merangkumi 21 peratus pengundi muda, 8,000 pengundi baharu.
Dari segi demografi pengundi Parlimen Titiwangsa mewakili kira-kira 70 peratus pengundi Melayu, 20 peratus Cina dan 10 peratus India.
Pada pilihanraya umum yang lepas, Johari yang membuat kemunculan pertama berjaya merampas kerusi tersebut daripada Pas apabila menewaskan Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi dengan majoriti 866 undi.-MalaysiaGazette