Home Nasional Ada kemungkinan DUN Kedah tergantung – Mukhriz

Ada kemungkinan DUN Kedah tergantung – Mukhriz

ALOR SETAR – Sebarang kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berada dalam kedudukan tergantung adalah tidak mustahil, kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu tidak menolak situasi tersebut walaupun mereka memenangi 18 kerusi DUN kerana Pas yang memiliki 15 kerusi mungkin bergabung dengan Barisan Nasional (BN) yang memenangi hanya tiga kerusi.

“Jika tak silap, Pas ada 15 dan BN tiga, terdapat risiko Pas bekerjasama dengan BN.

“Walaupun ia juga mustahil berlaku tapi kami harus terima terdapat risiko dan oleh sebab itu kami tidak boleh menangguhkan terlalu lama dalam melantik Menteri Besar baharu,” kata beliau semasa sidang media di ibu pejabat PH Stargate pagi tadi.

Buat masa ini, jelas Mukhriz pihak pimpinan masih membincangkan calon untuk dilantik sebagai menteri besar baharu dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya.

“Perkara ini dibincang secara dalaman di peringkat negeri dan atasan, dah ada nama,” ujarnya lagi.

Namun, Mukhriz optimis PH akan diberikan hak untuk memilih menteri besar kerana jumlah kerusi yang dimenangi mereka lebih banyak berbanding Pas dan BN di Kedah.

“Kami parti terbesar dengan hak untuk membentuk kerajaan negeri,” kataya lagi.

Mukhriz bagaimanapun tidak memberikan tempoh untuk menteri besar baharu akan mengangkat sumpah walaupun sudah menerima jemputan daripada pihak Istana ke majlis mengangkat sumpah. – MalaysiaGazette