KUALA LUMPUR- Penutupan Bursa Malaysia selama dua hari sempena cuti tambahan selepas Pakatan Harapan membuat kejutan memenangi pilihanraya umum ke-14 memberi peluang untuk pasaran bertenang.
Ketua Strategi Pelaburan Bank of Singapore, Eli Lee berkata, setakat ini masih terlalu banyak ketidaktentuan terhadap halatuju kerajaan baharu.
“Ini membenarkan sentimen pasaran untuk reda kerana kita akan mendapat gambaran yang lebih jelas terhadap hala tuju polisi daripada kerajaan baharu.
“Dengan kemenangan bergaya pembangkang, mengimbas semula kenangan Brexit dan pilihanraya presiden Amerika Syarikat yang telah mencetuskan ketidaktentuan kepada pasaran Malaysia.
“Reaksi klasik mengejut sedang berlaku,” katanya seperti yang dipetik Straits Times
Dalam pada itu, DBS menjangkakan nilai matawang Malaysia itu akan menyusut.
“Ramalan kami nilai ringgit akan menyusut kepada 4.20 menjelang hujung tahun ini. Unjuran tersebut telah dibuat sebelum pilihanraya lagi dan ianya dibuat berdasarkan ramalan kami terhadap pemulihan dolar Amerika.
“Kami tidak menjangkakan ekonomi Malaysia yang sangat bergantung kepada negara luar mampu mencatatkan pertumbuhan cemerlang sebanyak 5.9 peratus seperti tahun lepas dan kami meramalkan ianya akan berkembang sebanyak 5 peratus pada 2018,” katanya.
Pasaran saham Singapura turut menerima tempias perkembangan politik Malaysia.
Saham-saham yang mempunyai kaitan dengan Malaysia jatuh teruk selepas Pakatan Harapan membuat kejutan dengan memenangi pilihanraya umum semalam.
Setakat jam 11 pagi, saham-saham seperti anak syarikat Khazanah Nasional, IHH Healthcare mencatatkan penurunan sehingga lima sen atau 2.5 peratus.
Jardine Cycle & Carriage jatuh 81 sen atau 2.4 peratus manakala Hatten Land jatuh 0.1 peratus.-Agensi