KUALA LUMPUR – Tengku Razaleigh Hamzah memang menjangkakan kekalahan Barisan Nasional (BN) tetapi tidak seteruk seperti yang diumum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, jangkaan itu berdasarkan respons yang diberikan sepanjang tempoh berkempen.
“Saya menjangkakan tapi tidak seperti ini sebab tekanan yang begitu kuat menentang kami (BN) semasa kempen,” katanya kepada pemberita ketika di temui di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.
Beliau hadir untuk bersama-sama dengan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak dalam perjumpaan lebih kurang 50 pemimpin parti itu yang berjaya memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Meskipun BN kalah, Tengku Razaleigh berkata, beliau akan terus setia dengan UMNO.
“Ya kenapa pulak (tidak),” tambahnya.
Walaubagaimanapun Ku Li berharap agar pilihan raya kali ini tidak menjejaskan perpaduan , kestabilan dan keharmonian sesama rakyat.
Tengku Razaleigh berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang dalam PRU14. – MalaysiaGazette