SINGAPURA – Singapura berharap untuk mewujudkan hubungan konstruktif yang setara dengan kerajaan Malaysia yang baharu, kata Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.
“… dan untuk sama-sama berganding bahu dalam merapatkan hubungan dua hala dan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya dalam catatan terkini Facebook hari ini.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 Malaysia semalam, gabungan empat parti pembangkang yang baru dibentuk, Pakatan Harapan (PH) memperoleh kemenangan besar untuk menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun.
PH diketuai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kami mengikuti perkembangan ini dengan rapi,” catat Lee selanjutnya.
Sebagai jiran paling dekat Malaysia, Lee berkata republik itu mempunyai kepentingan dalam kestabilan dan kemakmuran Malaysia.
Lee menegaskan Singapura menikmati hubungan baik dan kerjasama rapat dengan Malaysia sejak sekian lama, dengan pemimpin Malaysia yang berterusan dengan teratur.
“Meskipun politik Malaysia untuk ditentukan oleh rakyat Malaysia, Singapura mengucapkan selamat maju jaya kepada Malaysia dalam perkembangan politiknya,” kata perdana menteri.
“Mungkin ramai rakyat Singapura mengikuti perkembangan pilihan raya umum Malaysia semalam. Jelas bahawa keputusan pilihan raya itu mewakili perubahan yang besar dalam politik Malaysia. Kita kini menunggu pembentukan sebuah kerajaan baharu,” tulis Lee lagi.
Dr Mahathir dijangka mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ketujuh.
Kira-kira 4.45 pagi ini, PH yang bertanding dalam apa yang disifatkan sebagai ?ibu segala pilihan raya’ menggunakan simbol mata biru sekutunya, PKR, memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen untuk meraih majoriti mudah.
— BERNAMA