Home Nasional Singapura tidak sabar kerjasama dengan Tun M

Singapura tidak sabar kerjasama dengan Tun M

LEE HSIEN LOONG
Perdana Menteri Lee Hsien Loong

SINGAPURA- Singapura tidak sabar untuk membangunkan “hubungan konstruktif” dan bekerjasama dengan kepimpinan baharu Malaysia bagi memastikan hubungan bilateral di antara kedua negara bermanfaat kepada rakyat Singapura dan Malaysia.

Dalam posting di Facebooknya, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, kedua-dua jiran itu mempunyai hubungan baik dan rapat selama ini dengan pemimpin-pemimpinnya.

“Walaupun politik politik Malaysia ditentukan oleh rakyatnya, Singapura ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Malaysia di dalam pembangunan politiknya,” katanya.

Rakyat Singapura memantau rapat pilihanraya umum ke-14 dan keputusan yang diperolehi malam tadi yang mana Pakatan Harapan yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat kejutan apabila menewaskan penyandang, Barisan Nasional yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ramai rakyat Singapura mengikuti perkembangan mengenai PRU Malaysia semalam.

“Jelas bahawa hasilnya akan membawa perubahan besar kepada politik Malaysia. Sekarang kami menantikan pembentukan kerajaan baharu.

“Kami sedang mengikuti perkembangan ini dengan rapat kerana Malaysia merupakan jiran paling hampir dan kami mempunyai kepentingan dalam kestabilan dan kemakmuran negara berkenaan,” kata Hsien Loong.

Beliau membuat posting serupa di Twitter.

Ketika ditanya mengenai impak terhadap hubungan bilateral, Menteri Perdagangan dan Industri, Chan Chun Sing berkata, “masih terlalu awal” untuk menilai apakah ia akan memberi impak kepada projek mega usahasama kedua-dua negara seperti projek Keretapi Laju Kuala Lumpur- Singapura.

Pembinaan bagi kawasan Singapura dijangka bermula pada 2019.- MalaysiaGazette

 

+ posts