Home Ekonomi Dasar ekonomi dijangka berubah

Dasar ekonomi dijangka berubah

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kekukuhan ekonomi negara bersandarkan kepada lapan faktor iaitu pertumbuhan yang mantap dan stabil.
KLCC mercu tanda Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR- Kemenangan mengejut Pakatan Harapan dalam pilihanraya umum ke-14 bakal menyaksikan banyak perubahan dasar fiskal dan ekonomi, kata Fitch Ratings.

Pakatan Harapan memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen menyebabkan Malaysia bertukar parti pemerintahan pertama sejak kemerdekaan pada 1957.

Fitch memberikan penarafan A- dengan Tinjauan Masa Hadapan Stabil pada 28 Mac, menunjukkan keputusan PRU dilihat tidak akan menyebabkan perubahan signifikan kepada dasar ekonomi.

Sukar untuk memastikan sama ada agenda kerajaan baharu ini akan menukar dasar ekonomi secara besar-besaran atau tidak, tetapi kemenangan mereka dan platform polisi yang dicadangkan PH menunjukkan kemungkinan besar akan berlaku perubahan.

Buat masa sekarang, Fitch akan memantau agenda polisi kerajaan baharu.

Antara yang diumumkan PH di dalam manifesto mereka adalah menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan memberikan semula subsidi sebagai sebahagian daripada pelan fiskal 100 hari.

Fitch ingin menegaskan, dasar sedemikian akan merosakkan displin fiskal serta meningkatkan hutang kerajaan atau defisit.

“Ia akan memberikan penarafan negatif,” katanya.

GST telah menjadi sumber utama perolehan kerajaan dengan menyumbang 18 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan, atau merangkumi lebih tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017.

Manakala Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) hanya menyumbang lapan peratus kepada jumlah keseluruhan pendapatan dan 1.6 peratus KDNK pada 2014.

Dengan itu, penggantian GST akan menyebabkan defisit yang lebih tinggi.-MalaysiaGazette