Home Nasional Anwar belum bebas, tunggu proses pengampunan

Anwar belum bebas, tunggu proses pengampunan

Ketua Penerangan PKR, Tian Chua (kanan) bersama Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa (tengah) ketika hadir untuk melawat Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sungai Buloh, R.Sivarasa yang juga peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, maklumat kononnya Ketua Umum PKR itu akan dibebaskan serta merta dari penjara adalah tidak benar.

“Proses pengampunan sedang diusahakan. Dokumen akan disediakan untuk dipersembahkan kepada Yang diPertuan Agong Sultan Muhammad V.

“Apa yang saya boleh katakan proses perundangan itu akan mengambil beberapa minggu lagi untuk mendapatkan pengampunan penuh dan dibebaskan serta merta,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Sebelum itu, Sivarasa bersama Ketua Penerangan PKR, Tian Chua sebelum itu melawat Anwar di Hospital Rehabilitasi Cheras.

Anak Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah pula tidak pasti bila ayahnya akan dibebaskan.

Naib Presiden PKR itu menegaskan demikian selepas ditanya media semasa melawat Anwar di Hospital Rehabilitassi Cheras di sini hari ini.

Terdahulu beliau dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang baru dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri memasuki perkarangan hospital berkenaan sekitar pukul 12 tengahari tadi.

“Maaf saya tidak dapat mengesahkan apa apa kerana tidak ada idea bila beliau (Anwar) akan dibebaskan,” kata Nurul Izzah lagi.

Anwar yang menjalani hukuman penjara sejak 10 Februari 2015 telah menjalani pembedahan pada bahu akibat kecederaan dan mengikuti proses rehabilitasi di hospital itu mengikut jadual ditetapkan.

Pengamal media berkumpul di hospital itu sejak 12 tengah hari tadi setelah tersebar spekulasi kononnya bekas Ketua Umum PKR itu akan dibebaskan.

Ia berikutan tersebar maklumat kononnya Yang di-Pertuan Agong telah memberi keampunan kepada Anwar untuk dibebaskan serta-merta.

Anwar kini menerima rawatan di hospital berkenaan selepas pembedahan bahu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, Yang di-Pertuan Agong bersedia memberi pengampunan penuh kepada Anwar dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette