KUALA LUMPUR – Pemimpin PKR mengadakan perbincangan parti bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum bermesyuarat bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Presiden Pakatan Harapan (PH) esok.
Ahli Parlimen Sungai Buloh merangkap Naib Presiden PKR, R.Sivarasa berkata, perbincangan terakhir hal parti sedang dilaksanakan oleh pemimpin pemimpin tertinggi parti itu bersama Anwar yang juga Ketua Umum PKR yang sedang menjalani rawatan pemulihan di Hospital Rehabilitasi Cheras.
Mereka yang hadir ke ke perbincangan itu adalah Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli danĀ Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga hadir selepas mengangkat sumpah di Klang.
Menurut Sivarasa, setiap pemimpin PKR datang berjumpa Anwar sebab mengenai perbicangan hal parti.
“Saya tak boleh dedahkan lanjut tapi berkenaan calon-calon kerajaan pusat dan negeri.
“Yang pasti Tun Dr. Mahathir Mohamad (Perdana Menteri) tidak akan hadir ke sini malam ini,” kata Sivarasa di pekarangan hospital itu di sini.
Wan Azizah yang telah melawat suaminya petang tadi kembali semula untuk perbincangan itu sekitar 9.45 malam.
Esok, Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan akan mempengerusikan mesyuarat penuh itu esok disusuli sidang media pengumuman kabinet baharu kerajaan.- MalaysiaGazette