Home Utama Guan Eng, Mat Sabu, Muhyiddin dilantik menteri kanan

Guan Eng, Mat Sabu, Muhyiddin dilantik menteri kanan

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada Sidang Media Khas mengenai Kepimpinan Kabinet Baharu selepas selesai mesyuarat tertutup di Menara Yayasan Selangor. foto IQBAL BASRI, 12 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed yang mengumumkan barisan Kabinet baru hari ini menamakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu pula diberi tanggungjawab sebagai Menteri Pertahanan, manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanggungjawab untuk Kementerian Dalam Negeri.

Dr. Mahathir hanya mengumumkan tiga nama menteri utama sahaja hari ini,  selain daripada memaklumkan pelantikan beberapa nama besar untuk menjadi anggota penasihat kerajaan.

Jelas Tun Mahathir, tujuh lagi nama Menteri akan diumumkan dalam masa terdekat berkemungkinan besar minggu hadapan selepas beberapa proses saringan bagi melayakan kesemua calon kempat-empat gabungan parti Pakatan Harapan berada dalam barisan Kabinet.

“Saya juga mahu melakukan semua ini dengan secepat mungkin namun anda juga harus tahu, perkara penting seperti ini tidak akan dapat dilakukan dengan sekelip mata sahaja sebaliknya perlu melalui proses saringan bagi memastikan kesemua yang terpilih itu layak untuk jawatan-jawatan tersebut.

“Selain daripada tujuh nama ini, kita juga akan meletakkan 25 lagi nama bagi kementerian lain. Semua ini dijangka boleh dilakukan dalam tempoh dua tiga minggu dari sekarang. Sebagai Perdana Menteri yang bertanggungjawab, saya perlu memastikan semuanya berjalan dengan lancar dan bukannya kelam kabut.

“Kita mahu fikir tentang apa yang diingini oleh semua gabungan PH, kita juga mahu memastikan calon mempunyai kelayakan bagi mengendalikan kementerian-kementerian itu, kita juga tidak mahu di lihat seolah-olah hanya menjuarai kaum atau bangsa tertentu. Semua ini akan diambil kira, tidak boleh tergesa-gesa,” katanya kepada ratusan pemberita tempatan dan luar negara di Ibu Pejabat PPBM di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tun Mahathir juga membuat pengumuman penubuhan sebuah pasukan yang terdiri daripada pakar-pakar untuk menasihati kerajaan dalam isu ekonomi dan kewangan.

Pasukan ini akan diketuai oleh Tun Daim Zainuddin yang pernah menjadi Menteri Kewangan sebanyak dua kali di bawah pentadbiran Tun Mahathir.

Selain itu, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Aziz Akhtar Aziz, bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Pertronas, Tan Sri Hassan Merican, ahli perniagaan terkenal, Robert Kuok Hock Nien dan ahli ekonomi terkemuka, Dr Jomo Kwame Sundaram.

Urus setia pasukan ini akan diketuai oleh ahli ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid selain daripada Tokoh Kewartawanan Negara, A Kadir Jasin mengetuai bahagian Media dan Komunikasi.

Jelas beliau, pasukan ini juga akan bertanggungjawab untuk membantu pembentukan dasar dan rancangan bagi mencapai janji 100 hari PH kepada rakyat.

“Maka jangka hayat kumpulan ini juga hanya 100 hari dan mereka akan bertanggungjawab untuk membantu kita dari semua aspek khasnya ekonomi dan kewangan,” ujarnya. – MalaysiaGazette