KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) disebabkan banyak faktor.
Jelasnya, dakwaan bahawa UMNO sudah tidak relevan adalah tidak benar sama sekali kerana parti itu adalah parti terbesar di negara.
“UMNO muhasabah diri dan menerima kekalahan teruk ini dengan hati yang terbuka sebab itu Najib letak jawatan. Kalau kata UMNO tidak relevan lagi, dia tidak akan letak jawatan.
“Pasti akan ada port-mortem Dan kita kena jujur dan pastikan di mana silapnya dan apa yang perlu untuk memastikan parti terus relevan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Biro Politik UMNO di Menara Dato’ Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak bertindak meletakan jawatan disebabkan kekalahan teruk BN kepada Pakatan Harapan (PH), Rabu lalu.
Justeru Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dipertanggungjawabkan untuk memikul jawatan bagi menjalankan tugas seorang Presiden.
Najib juga turut meletakan jawatan sebagai Pengerusi BN serta merta.
Dalam pada itu, Shahrizat berkata UMNO memerlukan waktu untuk menerima semua ini dalam menggerakkan parti yang berwajah baru.
“Kita sudah bersama dengan rakyat selama 60 tahun. Kita mesti belajar dari kesilapan ini dan teruskan berjuang untuk rakyat.
“UMNO akan ambil masa untuk sesuaikan diri dengan perubahan ini terutamanya kepada ahli parlimen. Beri kita sedikit masa dan kita akan bangkit dan terus berusaha untuk berkhidmat dengan rakyat,” katanya lagi.
BN pada Rabu lalu gagal membentuk kerajaan kerana tewas teruk kepada PH yang memenangi sejumlah besar negeri di Malaysia. -MalaysiaGazette