Home Akhbar Cina Gerakan, MCA belum bincang soal tinggalkan BN

Gerakan, MCA belum bincang soal tinggalkan BN

Ketua-ketua Parti Komponen Barisan Nasional dari kiri Presiden myPPP, Tan Sri M. Kayveas, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Prof Dr Sim Kui Hian, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Presiden MIC, Datuk Seri S.Subramaniam dan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut hadir mendengar ucapan dasar presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO ke 70 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 DISEMBER 2016

PETALING JAYA – Gerakan yang pulang dengan tangan kosong dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan memberi laluan kepada ahli-ahlinya untuk memutuskan hala tuju parti dalam Barisan Nasional (BN).

Sinchew Daily melaporkan, keputusan itu akan dibuat oleh akar umbi parti selepas pemilihan parti dilakukan.

Naik Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau berkata, perkara penting itu akan diputuskan oleh “seluruh parti” , tetapi perkara terpenting sekarang ialah meningkatkan tahap motivasi ahli.

Dominic memberitahu perkara itu kepada Sinchew Daily selepas tersebar ura-ura bahawa Gerakan akan meninggalkan BN pada Sabtu.

Dominic yang kecundang di kerusi Parlimen Batu bagaimanapun mengakui bahawa sudah banyak kali akar umbi meminta Gerakan meninggalkan BN, tetapi mesej itu sangat menonjol pada masa ini.

“Kami tidak harus melakukan perkara yang bertentangan dengan kehendak rakyat. Soal terus berada dalam BN atau meninggalkan BN akan dibuat oleh akar umbi selepas pemilihan parti.

” Gerakan bagaimanapun mempunyai prosedur sendiri dan tidak akan membuat keputusan secara sewenang-wenangnya,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, partinya akan memainkan peranan sebagai pembangkang dengan sebaik mungkin.

Mengulas tentang gesaan supaya MCA harus tinggalkan BN jika UMNO membentuk kerajaan dengan Pas di Perak, Tiong Lai berkata, “tunggu sehingga kerajaan negeri dibentuk, ini adalah isu masa depan.”

Tambahnya, kedudukan MCA dalam BN tidak dibincangkan dalam mesyuarat pada Sabtu.

Mengenai keadaaan MCA yang hanya dapat mempertahankan kerusi Parlimen Ayer Hitam, Tiong Lai berkata, selain isu kos hidup dan cukai barang dan perkhidmatan (GST), kekalahan MCA disumbang oleh kejayaan Pas merampas undi Melayu.

Tambahya, undi Cina juga tidak kembali kepada MCA seperti yang diharapkan. – MalaysiaGazette