Home Nasional Kerabat Istana Pahang temui Najib

Kerabat Istana Pahang temui Najib

Kereta kerabat DiRaja Pahang yang dipercayai membawa isteri Tengku Mahkota Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berjalan keluar dari kediaman Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang terletak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 MEI 2018.
KUALA LUMPUR – Ketika laluan keluar masuk ke kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak dikawal ketat oleh pihak polis, kelihatan dua kenderaan kerabat DiRaja Pahang berwarna hitam memasuki kawasan itu.
Kelihatan seolah-olah kelibat isteri Tengku Mahkota Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memasuki pekarangan kediaman bekas Perdana Menteri itu, kira-kira 4.50 petang tadi.
Bagaimanapun salah sebuah kenderaan rasmi Istana Pahang itu didapati meninggalkan kediaman di Jalan Langgak Duta, Taman Duta itu selepas menurunkan kerabat istana berkenaan.
Umum mengetahui Najib merupakan Ahli Parlimen Pekan Pahang yang berjaya mempertahankan kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.
Jalan Langgak Duta pada masa ini masih dikawal ketat oleh pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Sentul Daerah Sentul.
Pihak polis itu juga turut menempatkan balai polis bergerak dengan tiga anggota polis yang bertugas secara bergilir.
Petugas media pula masih tidak dibenarkan memasuki Jalan Langgak Duta atau mendekati kediaman bekas Perdana Menteri itu berbanding semalam. – MalaysiaGazette